KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menerima cabaran Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan untuk mencari kelemahan dalam usaha kerajaan mengatasi kekurangan pekerja di negara ini.
Malah beliau bersetuju dengan cabaran menteri itu untuk meletak jawatan sekiranya gagal menemui kelemahan dalam dakwaannya.
Begitu juga Saravanan yang kena melakukan perkara yang sama sekiranya terbukti kementeriannya gagal menangani masalah kekurangan pekerja di negara ini, katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Saravanan yang tidak berpuas hati dengannya ekoran isu berkenaan kepada The Vibes di Pulau Pinang pada 13 September lalu.
Saravanan dipetik berkata; “Sekiranya dia (Guan Eng) tidak dapat mencari apa-apa yang salah dengan cara kementerian menangani kekurangan pekerja, dia harus meletakkan jawatan serta-merta sebagai (pengerusi DAP). Jika dia menemui sesuatu yang salah, maka saya akan meletakkan jawatan.”
Pemimpin DAP itu berkata, Saravanan tidak seharusnya cuba mengalih perhatian dengan membuat serangan peribadi yang tidak berasas dan sepatutnya menangani dengan fakta dan angka terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh majikan berkaitan dengan kekurangan buruh migran yang teruk.
Setakat ini, Saravanan tidak menjawab dan memberi penjelasan berkenaan 12 peratusan kadar kejayaannya yang menyedihkan dalam mendapatkan pekerja asing memasuki Malaysia, dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Perkara ini bukan dibangkitkan oleh saya tetapi oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang menganggarkan hanya 47,000 pekerja asing telah memasuki Malaysia atau 12 peratus daripada 385,000 kelulusan sejak Januari 2022 bagi pekerja asing yang diluluskan untuk syarikat dalam semua sektor industri.
“Apa gunanya Saravanan mendakwa bahawa telah meluluskan sehingga 400,000 pekerja asing untuk menyertai tenaga kerja di sini sedangkan mereka tidak boleh masuk ke negara ini?
“Ini adalah satu lagi sembang kosong oleh seorang menteri yang tidak cekap,” dakwanya.
Menurut Guan Eng, Saravanan tidak boleh lepas tangan daripada krisis kekurangan buruh hanya kerana telah memberi kelulusan.
“Saya akan menunggu Saravanan untuk menetapkan tarikh untuk menyahut cabaran Saravanan serta isu-isu kritikal dan kelemahan-kelemahan lain yang telah melambatkan pengambilan segera pekerja asing,” katanya.
Menurutnya, MPOA telah menyatakan bahawa industri minyak sawit memerlukan 120,000 pekerja asing manakala sektor E&E Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera.
Dakwanya, kekurangan pekerja yang teruk telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, sarung tangan getah dan industri alat ganti kenderaan sahaja. Industri lain juga akan mencatatkan kerugian berpuluh bilion ringgit.
“Bilakah ratusan ribu pekerja asing yang dijanjikan akan masuk ke negara ini? Kegagalan yang begitu teruk sebegini akan memberi kesan buruk kepada iklim pelaburan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette