PDRM
Tawaran melalui aplikasi dalam talian diperkenalkan pada 2020 yang membabitkan pembelian barangan dan perkhidmatan menggunakan e-dompet.

PUTRAJAYA – Seorang lelaki telah ditahan reman oleh polis selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran bersifat tohmahan yang tular di media sosial berkaitan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek yang berusia 48 tahun itu sebelum ini ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi di rumahnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Suspek kemudiannya telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk membantu siasatan lanjut.

“Suspek sedang disiasat berhubung satu hantaran di media sosial yang dibuat berkaitan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Nazimah Hashim pada tahun lalu.

“Beliau berkata, lelaki yang bekerja sendiri itu direman selama tiga hari sehingga 17 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Semalam, seorang lelaki tempatan diberkas berhubung satu hantaran media sosial mengenai Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Hantaran tersebut dipercayai telah dimuat naik pada tahun lalu mendakwa ketua setiausaha sulit  itu memakai pakaian dan barang kemas mahal ke pejabat.- MalaysiaGazette