Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh hari ini bebas daripada pertuduhan menerima rasuah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh hari ini bebas daripada pertuduhan menerima rasuah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Mahkamah Sesyen hari ini telah memutuskan perkara itu selepas pembelaan berjaya menyangkal semua dakwaan terhadap tertuduh.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob ketika membacakan keputusannya berkata, penjelasan yang telah diberikan amat memuaskan dan jujur.

Sabudin ketika menjadi Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan.

Untuk makluman, May Kuan ialah sub kontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan ‘Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur DBKL Bagi Tahun 2018/2020.

Itu adalah upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum jika bersabit di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast