Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood memberi penghormatan akhir kepada mendiang Tun Samy Vellu di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – “Memang ini adalah fakta yang tidak dapat disangkal bahawa Tun Samy Vellu telah banyak berjasa dalam menaikkan masyarakat India Muslim di negara ini.”

Itu kata Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN terkejut dengan berita pemergian bekas Presiden MIC itu pagi tadi.

“Kalau anda mahu bertanya kepada saya tentang mendiang Tun, terlalu banyak yang boleh saya cakap. Jasa beliau amat besar sekali bukan sahaja buat masyarakat India sebaliknya untuk komuniti India Muslim seperti kami.

 

Shahul Dawood.

“Kepimpinan beliau amat terserlah dan tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana pihak sebaliknya mahu memberikan yang terbaik kepada semua. Seingat saya, komuniti Islam akan berterusan berterima kasih dengan mendiang sampai bila-bila.

“Hanya selepas campur tangan Tun dalam isu pekerja asing bagi membantu masyarakat India Muslim yang terlibat dalam perniagaan, kami semua dapat menarik nafas lega. Beliau banyak mendengar dan mengambil tindakan secepat mungkin dalam apa jua isu.

“Saya sendiri bersama keluarga amat rapat dengan mendiang, saya membesar mengenali beliau dan jasanya tidak dapat diungkap dalam kata-kata,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di sini hari ini.

Bekas Menteri Kerja Raya itu meninggal dunia pada usia 86 tahun di rumahnya di temani keluarganya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas Presiden MIC meninggal dunia

Samy Vellu pemimpin hebat – PM