Abdul Hadi Awang.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengalaman bersama-sama parti di dalam Pakatan Harapan (PH) membuatkan Pas menolak untuk bekerjasama apabila dijemput sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PH telah menjadi tempat untuk mereka yang anti-Islam dan anti-Melayu berkumpul.

Pas menurut beliau, menolak mudarat politik PH yang lebih besar dan mendatangkan akibat yang lebih parah kepada negara hingga boleh merobohkan asas dan mematahkan cabang-cabang yang penting.

Abdul Hadi berkata, hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh apabila PH lebih banyak menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara jika dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN).

“Malah, dalam PH terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan.

“Bahkan, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi,” katanya.

Abdul Hadi juga mendakwa, ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman dan tidak bermoral secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga).

“Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” kata Abdul Hadi.

Beliau menegaskan Islam yang menjadi akidah perjuangan Pas menetapkan bahawa politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat.

Maka, wawasan Pas tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia.

Justeru, Pas tetap mempertahankan hak Melayu, bumiputera dan Islam termasuk bahasa yang menjadi teras kepimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.

“Pas menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.

“Pas menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.

“Bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik,” tambah Abdul Hadi dalam kenyataan di media sosial.

Beliau juga berkata, penipuan dan pembohongan PH dalam manifesto pilihan raya telah menghilangkan kelayakan untuk parti itu politik selain berdosa seperti mengamalkan perbuatan rasuah.-MalaysiaGazette