Gambar hiasan

KUANTAN – Tembelang seorang doktor gigi palsu pecah apabila rumahnya yang dijadikan klinik haram menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi diserbu penguat kuasa  di sini semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, serbuan dibuat susulan aduan yang diterima oleh orang awam berkaitan aktiviti pengamal perubatan palsu itu.

Menurut beliau, perkhidmatan pemasangan pendakap gigi tersebut dipromosi melalui aplikasi grup perbualan WhatApp.

“Risikan yang dijalankan mendapati pengamal palsu tersebut ada membuat pemasangan pendakap gigi dengan harga  antara RM100 hingga RM200.

“Pengamal palsu tersebut dipercayai telah menjalankan amalan pergigian secara haram sejak tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Dr. Nor Azimi Yunus

Selain menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi, doktor palsu itu juga mempromosi rawatan pemutihan gigi di menerusi platform Instagram.

Susulan hasil risikan, satu serbuan telah diadakan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan Unit Penguatkuasaan Pergigian JKNP malam semalam dan mendapati seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an sedang menjalankan rawatan pergigian kepada seorang pelanggannya.

“Pasukan serbuan turut merampas peralatan yang disyaki digunakan dalam menjalankan rawatan pergigian di sebuah premis kediaman sekitar Kempadang,” katanya.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) iaitu menyediakan klinik pergigian tanpa didaftarkan dan di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804) di mana amalan pergigian dilakukan oleh orang yang tidak berdaftar.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau selama tempoh  tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Justeru jabatan kesihatan menasihati orang awam agar mendapatkan rawatan pergigian atau perubatan di klinik pergigian atau perubatan yang berdaftar sama ada kerajaan atau swasta.

“Orang awam boleh menyemak kesahihan pengamal pergigian berdaftar melalui laman sesawang www.dpims.moh.gov.my dan semakan terhadap klinik pergigian atau klinik perubatan yang berdaftar dengan  boleh dibuat di laman sesawang www.medicalprac.moh.gov.my.

“Kerjasama orang ramai dalam memboikot kegiatan haram ini dapat membantu Kementerian Kesihatan dalam membanteraskegiatan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast