Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Datuk Idris Kechot (kiri) bergambar selepas melancarkan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Bukit Teratai, Lebuhraya SUKE, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 15 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Fasa pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dibuka kepada pengguna bermula pukul  12 tengah hari ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang merasmikan pelancaran malam tadi berkata, tawaran tol percuma turut diberikan selama sebulan.

“Sempena Hari Malaysia esok (hari ini), fasa pertama melibatkan 16.6 kilometer dari persimpangan Cheras-Kajang ke persimpangan Bukit Antarabangsa dirasmikan untuk orang ramai bermula esok 12 tengah hari dengan tol percuma selama sebulan,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Pelancaran Fasa Pertama Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Sungai besi- Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Bukit Teratai, Lebuhraya SUKE, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 15 SEPTEMBER 2022.

Menurut Fadillah, fasa pertama tersebut melibatkan 11 persimpangan dengan dua plaza tol iaitu Bukit Teratai dan Ampang.

Lebuhraya bertingkat ketiga tertinggi di negara dengan ketinggian 56.6 meter itu membabitkan kos sebanyak RM5.7 bilion.

Jelas Fadillah, kejayaan SUKE adalah bukti kementeriannya komited dalam menyuraikan kepadatan trafik berikutan peningkatan jumlah kenderaan di sekitar Lembah Klang.

“Lebuhraya SUKE menjadi alternatif utama kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dijangka menyuraikan trafik sehingga 36 peratus termasuk di Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew pada waktu puncak,” ucapnya ketika perasmian di sini malam tadi.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memaklumkan jajaran utama SUKE adalah sepanjang 24.4 kilometer bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang dengan 14 persimpangan.

Tanjakan ‘helikoidal’ pertama di Malaysia di persimpangan Cheras-Kajang ketika tinjauan media selepas perasmian pembukaan fasa pertama Lebuhraya SUKE di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2022. Foto MUHD NA’IM, 15 SEPTEMBER 2022.

Beliau juga berbangga atas pencapaian SUKE yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dan Anugerah Reka Bentuk Lebuh Raya Dinamik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia atas keunikan tanjakan helikoidal pertama di negara.

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2022/09/14/fasa-pertama-lebuhraya-suke-dibuka-dalam-masa-terdekat/

Sebagai rekod, lebuhraya yang mula dibina sejak Ogos 2016 itu menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

Ia juga mempunyai jaringan ke MRR2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Timur Lembah Klang (EKVE) yang kini dalam pembinaan. – MalaysiaGazette