Mohamad Farouk berkata, adik kepada kanak-kanak yang berkenaan yang berumur enam tahun juga didapati menjadi mangsa dera apabila mempunyai kesan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan.

KUALA LUMPUR – Dua suspek terlibat kes penderaan kanak-kanak yang cuba terjun dari tingkat empat sebuah kondomonium di Ampang berjaya ditangkap pada petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 33 tahun merupakan adik perempuan kepada ibu kandung mangsa.

Manakala seorang lagi suspek adalah suami wanita berkenaan yang berusia 29 tahun dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati negatif sebarang jenis dadah,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai didera dan dikurung cuba melarikan diri dengan keluar dari tingkap di tingkat empat Kondominium Bella Vista, Jalan Cahaya 13, Ampang.

Kanak-kanak itu dipercayai dikurung dalam sebuah bilik di kondominium tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, adik kepada kanak-kanak yang berkenaan yang berumur enam tahun juga didapati menjadi mangsa dera apabila mempunyai kesan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan.

“Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dimaklumkan untuk tindakan penjagaan mangsa,” tambahnya.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa dan adiknya tinggal bersama suspek selama dua tahun selepas bapa kandung meninggal dunia.

“Manakala ibu kandung tidak mahu menjaga kedua-dua mangsa,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak disyaki mangsa dera lari ikut tingkap kondominium