Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya menguntungkan Pakatan Harapan (PH) apabila mendakwa ramai pemimpin gabungan parti pembangkang itu tidak beriman dan tidak bermoral.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Abdul Hadi sepatutnya menunjukkan nilai-nilai yang baik dalam masyarakat Melayu namun beliau terus membawa budaya  menghina orang lain.

“Selagi banyak Presiden Pas bercakap pada hari ini, semakin menguntungkan kita…kalau boleh kita upah dia bercakap setiap hari, setiap saat.

“Yang paling baharu beliau mengatakan pimpinan PH tidak beriman dan tidak bemoral. Beliau menganut falsafah dia seorang yang suci, orang lain  kotor dan jijik belaka,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Kelmarin, media memetik tulisan Abdul Hadi menerusi catatan Minda Presiden Pas apabila Ahli Parlimen Marang menegaskan parti Islam itu tidak akan membentuk kerjasama dengan PH termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.

Abdul Hadi mendakwa, ini kerana ramai dalam kalangan pimpinan PH tidak beriman dan tidak bermoral.

Menurut beliau, PH ketika menghadapi PRU-14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan ‘kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.

Abdul Hadi juga mendakwa, PH mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman.

Oleh yang demikian, Abdul Hadi bertegas menolak mudarat politik PH yang lebih besar dan mendatangkan akibat yang lebih parah kepada negara hingga boleh merobohkan asas dan mematahkan cabang-cabang yang penting.

Dalam pada itu, Salahuddin seterusnya berkata, anggota parti Amanah perlu terus bangkit dan mempamerkan sifat-sifat mulia kepada masyarakat selain memperkukuhkan kedudukan parti dalam PH.

Katanya, Amanah perlu membantu masyarakat Malaysia menilai Islam dan mempamer keindahan agama itu dalam masyarakat dan akhirnya menjadikan merema berasa selamat dan bahagia berlindung di bawah konsep Islam Rahmatan Lil Alamin yang pernah dicanang sebelum ini. – MalaysiaGazette