Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC, mendiang Tun S. Samy Vellu di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa dukacita dengan pemergian Tun S. Samy Vellu yang menghembuskan nafas terakhirnya  semalam.

Dalam nada sayu beliau menceritakan bagaimana bekas Presiden MIC itu telah menabur bakti bukan sahaja kepada parti sebaliknya telah memainkan peranan dalam pelbagai transformasi negara  selama beberapa dekad.

“Mendiang seorang yang tegas, bersifat no nonsense dan seorang pemimpin self made serta amat disegani tidak kira kawan mahupun lawan. Datang dari kehidupan susah, dirinya amat memahami penderitaan orang miskin dan kepentingan pendidikan yang mampu mengubah nasib.

“Itu antara sebab mengapa begitu banyak sekolah, institut pendidikan seperti universiti dan kolej serta pusat kemahiran seperti TAFE telah diasaskan oleh beliau selama bertahun beliau menjadi menteri dan Presiden MIC.

“MIC sendiri telah banyak bergerak ke hadapan pada hari ini kerana hasil usaha keras dan buah fikirannya bukan sahaja membina parti sebaliknya telah berjuang membela komuniti India di negara ini.

“Jika tidak silap saya juga, Samy Vellu jugalah yang telah mencetuskan idea melancarkan satelit MEASAT ketika dirinya menjadi Menteri Telekomunikasi.

“Hakikatnya Samy seorang pemimpin tersohor, hebat dan progresif, sentiasa ke hadapan,” katanya selepas memberikan penghormatan akhir kepada mendiang di kediamannya di Jalan Ipoh hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad juga mengucapkan takziah kepada keseluruhan keluarga mendiang.

“Pemergian beliau amat besar, saya bagi pihak UMNO dan BN mengucapkan takziah, semoga semuanya tabah menghadapi dugaan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula menyifatkan pemergian Samy satu kehilangan besar buat negara.

Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC, mendiang Tun S. Samy Vellu di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

“Jika hendak bercakap tentang jasa Samy, memang banyak dan besar. Kerana itu juga anda lihat ramai tidak kira siapa datang mengerumuni rumah mendiang untuk memberikan penghormatan terakhirnya kepadanya.

“Negara sememangnya hilang sebuah permata,” ujarnya.

Rumah mendiang hari ini terus dibanjiri ramai pemimpin, ahli, penyokong serta masyarakat setempat yang hadir untuk melihat wajah Samy buat kali terakhir. -MalaysiaGazette