Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo bersama bekas Menteri Wanita, Tan Sri Shahrizat Jalil hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC, mendiang Tun S. Samy Vellu di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini melahirkan rasa sedih dengan pemergian Tun S Samy Vellu yang dianggap mentornya.

Menurutnya, Samy banyak membantunya ketika beliau menjawat jawatan timbalan menteri dan kemudiannya menteri dan sentiasa memberinya nasihat kepadanya untuk sentiasa mendahulukan keperluan serta kepentingan rakyat.

“Tun Samy Vellu ini amat unik sekali personalitinya. Ketika saya dan yang baru dalam Kabinet, beliau anggap kami seperti adik dan banyak mengajar kami. Saya sendiri banyak belajar darinya.

“Perkara pertama saya belajar ialah selain memiliki misi, visi serta ciri kepimpinan hebat tetapi perkara utamanya ialah anda mempunyai hati, empati tinggi dalam kepimpinan.

”Ini di tunjukkan sendiri oleh Tun apabila beliau sentiasa turun padang, Samy Vellu bukan sahaja hebat dari segi polisi dan pelaksanaan sebaliknya keutamaan beliau ialah mendampingi rakyat,” katanya.

Ahli keluarga serta orang awam meletakkan bunga malai ketika memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Presiden MIC Tun S Samy Vellu di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas beliau dan suami memberi penghormatan terakhir kepada Samy di kediamannya di Lengkungan Vethavanam di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Shahrizat lagi, Samy yang juga mantan Presiden MIC dan Menteri Kerja Raya itu juga bukan sahaja membela nasib masyarakat India di negara ini sebaliknya seorang pemimpin berjiwa rakyat.

“Jangan anggap Tun Samy pemimpin untuk komuniti India sahaja tetapi untuk semua, daripada pengalaman saya Tun adalah pemimpin untuk semua seluruh negara tanpa kira agama, bangsa. Hari ini Hari Malaysia, marilah kita ingat jasa Tun di Sabah, Sarawak juga.

“Saya bertuah mengenali, bersama Tun dalam Kabinet. Pemergian beliau umpama a star is gone. Memang satu kehilangan besar. Salam takziah saya kepada Tun dan keluarga,” ujarnya. -MalaysiaGazette