Seramai 179 Pelatih Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 ketika di Perbarisan Tamat Latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 Maritim Malaysia di Padang Kawad Pusat Latihan dan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Gebeng, Kuantan, Pahang di sini hari ini

KUANTAN – Seramai 179 Pelatih Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya tamat latihan setelah terpilih dalam pengambilan pertama ketika negara masih di dalam fasa pandemik Covid-19 lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Agensi – Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pelatih terdiri daripada 159 orang lelaki dan 20 orang wanita telah menjalani latihan selama sembilan bulan bermula pada 7 Disember 2021 tahun lalu.

Sepanjang sembilan bulan itu, pelatih ini telah menjalani pelbagai latihan yang melibatkan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi, selain penerapan semangat berpasukan (esprit de corps) dan pengetahuan khusus dalam bidang pengoperasian kapal serta penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

“Pengambilan ketika musim pandemik mencatatkan sejarah itu juga terdiri daripada 117 peserta dari Semenanjung Malaysia, seorang orang Asli, 53 dari Sabah dan 14 lagi dari Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 Maritim Malaysia di Padang Kawad Pusat Latihan dan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Gebeng, Kuantan, Pahang di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai lima pelatih telah berjaya mempamerkan prestasi serta pencapaian yang cemerlang.

Sebaik tamat Perbarisan Tamat Latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 ini, kesemua anggota ini akan ditempatkan di kapal-kapal untuk meneruskan latihan sambil kerja (OJT) selama empat bulan sebelum disahkan dalam perkhidmatan,” katanya.

Jelasnya OJT ini akan mendedahkan mereka dalam aspek praktikal pengoperasian kapal yang melibatkan pandu arah am, komunikasi, mengawal kebakaran dan mencegah kerosakan kapal dan latihan pemeriksaan, penggeledahan kapal termasuk bot. – MalaysiaGazette