Paip utama saluran gas dari Rusia ke Eropah. Foto Anadolu Agency

KRISIS tenaga yang sedang melanda Eropah ketika ini banyak disumbangkan oleh inflasi ekonomi yang tertinggi melanda benua itu sejak 40 tahun yang lepas. Menurut laporan Greenmatch pada September 2022, bekalan tenaga mengalami kenaikan harga sebanyak 40.2 peratus sedangkan barangan lain seperti makanan dan barangan bukan tenaga hanya mengalami kenaikan sebanyak 4 hingga 6 peratus. Peperangan antara Rusia dan Ukraine adalah penyebab utama kepada kebaikan harga tersebut memandangkan Rusia antara pembekal utama tenaga ke di benua tersebut.

Ekoran fenomena tersebut, Chanselor Jerman, Olaf Scholz telah mengumumkan pakej rangsangan berjumlah 64 billion Euro yang merangkumi subsidi gas dan petrol selain pengurangan cukai bagi memangkinkan pertumbuhan ekonomi negara Eropah Barat tersebut. Ini disebabkan kebergantungan Jerman kepada bekalan tenaga yang dieksport dari Rusia yang berjumlah lebih kurang 56.2 bilion meter kubik pada tahun 2021, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA). Menurut IEA juga, sebanyak 22 negara Eropah mengimport gas dan petrol dari Rusia dan sebahagian besar dari negara tersebut adalah terdiri dari keanggotaan NATO.

Perang Rusia-Ukraine serta bekalan makanan dunia

Peperangan dua negara ini boleh dianggap peperangan pertama yang berlaku antara negara di Eropah dalam abad ke-21 ini. Apa yang lebih menarik perhatian ialah Ukraine bukanlah negara yang asing bagi Rusia kerana republik itu pada asalnya adalah sebahagian dari jajahan Republik Rusia sebelum mencapai kemerdekaan pada tahun 1918.

Kedua-dua negara ini memainkan peranan yang penting di dalam perdagangan dunia terutamanya produk berbentuk tenaga dan makananan. Rusia adalah penyimpan rizab gas asli terbesar di dunia diikuti oleh Iran dan Qatar sementara Ukraine pula pengeksport utama bagi produk berasaskan jagung yang mewakili 16 peratus dari eksport jagung dunia, lapor Wilson Centre. Ketegangan ini telah mengakibatkan lebih kurang 22 juta tan gandum terkandas di republik bergolak tersebut sebelum dieksport ke negara lain.

Dalam hal yang berkaitan, permintaan terhadap minyak kelapa sawit pula meningkat sebagai respons alternatif kepada minyak jagung yang sedang berhadapan krisis bekalan. Walau bagaimanapun, impak pandemik Covid-19 masih dirasai oleh negara pengeluar terbesar kelapa sawit, Indonesia yang memaksa mereka untuk melakukan sekatan eksport hasil minyak kelapa sawitnya untuk sementara waktu sebelum didesak oleh pihak dalam dan luar untuk memansuhkan sekatan tersebut.

Kesemua perkara di atas telah memiliki kaitan yang rapat dengan kenaikan harta bahan bakar dan tenaga di Eropah yang bakal menyaksikan inflasi yang lebih buruk di benua tersebut.

Ekonomi sebagai senjata peperangan

Manipulasi hasil mahsul negara sebagai senjata psikologi bukanlah perkara baharu di dalam dunia peperangan dan konflik. Golongan Zinkiyun di bawah pentadbiran Mahmud Nuruddin al-Zinki telah menggunakan pertanian sebagai senjata untuk mengukuhkan ketenteraan mereka di bumi Syam dalam memerangi golongan Salib di zaman tersebut, Sebagai tindak balas, golongan Salib atau Kristian juga menggunakan kepakaran tawanan Islam yang ditawan oleh golongan Salib bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi dan pertahanan negara mereka.

Dunia moden menyaksikan sekatan ekonomi sebagai salah satu senjata perang yang ampuh bagi melemahkan sesebuah negara yang dianggap musuh oleh negara lain yang berkuasa. Sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Rusia pada tahun 2014 yang lepas merangkumi sektor kewangan, perdagangan, tenaga, pengangkutan, teknologi serta ketenteraan.

Sekatan tersebut telah mengakibatkan kerugian kepada kerajaan Rusia sebanyak AS$100 bilion Menurut Anders Åslund (2019) dari Georgetown University, sekatar tersebut telah melemahkan ekonomi Rusia sehingga hutang negara asing telah menurun secara mendadak dari AS$ 732 bilion pada 2014 menurun kepada AS$482 bilion pada tahun 2019. Untuk catatan, memiliki kadar hutang asing yang tinggi adalah salah satu indikator positif kepada kepercayaan negara asing terhadap sesebuah negara.

Ringkasnya, senjata ekonomi telah digunakan sejak sekian lama di dalam konflik peperangan antara mana-mana kuasa, persoalannya, adakah kerakusan yang ditunjukkan ini membuahkan hasil atau natijah yang positif?

Antara sekatan yang terbukti tidak berjaya sehingga ke hari ini akibat peperangan ialah sekatan yang dikenakan ke atas Somalia. Sehingga hari ini, Somalia masih kekal negara yang bergolak dan tidak stabil, hanya 49.7 peratus populasi yang dapat mengakses kepada kemudahan tenaga elektrik

sedangkan purata individu yang boleh mengakses ke tenaga tersebut adalah 87 peratus. Selain itu kadar pengangguran yang tinggi iaitu sebanyak 19.9 peratus juga menjadikan negara di benua Afrika tersebut dikategorikan sebagai negara miskin dan bermasalah.

Ingatan Allah SWT mengenai hal ini Allah SWT sentiasa mengingatkan manusia untuk sentiasa memakmurkan bumi ini dengan kebaikan dan perkara manfaat sebagaimana firmannya: Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh (Surah Ali ‘Imran: ayat 114)

Sudah pasti mewujudkan kestabilan ekonomi itu antara perkara kebajikan yang perlu diusahakan oleh umat Islam bagi menjamin kelestarian hidup manusia. Sehubungan dengan itu, Allah SWT secara jelas menegur tindakan kaum Madyan yang menipu timbangan dan sukatan yang dikaitkan dengan kerosakan di muka bumi:

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman. (Surah al-’Araf: ayat 85).

Penipuan dalam timbangan sahaja sudah mampu menyebarkan kerosakan di alam ini, bagaimana pula dengan kerosakan yang disengajakan dengan kepentingan terhadap kuasa dan kerakusan harta?. Dunia dan Barat perlu belajar dari kehancuran dunia akibat perang dunia pertama dan kedua yang lepas. Puluhan juta manusia mati, kebuluran dan krisis kesihatan di mana-mana, adakah kita semua ingin sekali lagi berada di kancah tersebut sedangkan kemajuan dan kemodenan hidup manusia yang dicapai hari ini amatlah selesa berbanding dahulu?

Justeru, negara Islam diharap dapat mengimbangi krisis yang berlaku dengan bersedia menjadi pembekal alternatif terhadap barangan keperluan yang kritikal supaya keperluan asasi manusia dipenuhi sekaligus mengurangkan risiko berlakuna krisis kemanusiaan sebagaimana yang telah berlaku pada dekad-dekad yang lepas.

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast