bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Dagangan di Bursa Malaysia dijangka mempamerkan pergerakan mendatar minggu depan, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara paras 1,460 hingga 1,480 dalam prestasi serantau yang tidak menentu, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, dari segi teknikal, FBM KLCI sepatutnya menyaksikan sokongan serta-merta pada paras 1,460 manakala rintangan pada 1,500.

Beliau berkata, sentimen pasaran FBM KLCI dalam jangka pendek disifatkan tidak menentu kerana pelabur masih berhati-hati berikutan kebimbangan berterusan mengenai inflasi dan pendirian dasar bank pusat global yang lebih ketat.

“Kami menasihatkan pelabur agar sentiasa peka terhadap peluang memburu saham berharga murah,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sesi dagangan yang lebih pendek minggu ini bermula dengan positif berikutan prestasi menggalakkan di Wall Street minggu lepas.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup untuk urus niaga pada hari Jumaat, 16 Sept 2022, sempena Hari Malaysia, dan akan beroperasi semula pada Isnin, 19 Sept 2022.

Selain itu, pasaran turut dirangsang oleh penyederhanaan data inflasi China yang tidak dijangka iaitu kepada 2.5 peratus pada Ogos daripada 2.7 peratus sebelum ini serta penurunan harga gas asli Eropah.

“FBM KLCI memulakan dagangan minggu ini tinggi sedikit dengan saham tenaga dan perbankan mendahului saham-saham untung yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah momentum bursa semakin perlahan pada hari Selasa disebabkan kegiatan pengambilan untung, walaupun pasaran AS mencatatkan prestasi semalaman yang positif sementara  pelabur menunggu laporan inflasi AS untuk Ogos.

“Memandangkan laporan indeks harga pengguna AS mencapai 0.1 peratus lebih tinggi berbanding bulan lepas, dan 8.3 peratus tahun ke tahun berbanding jangkaan sebanyak 8.1 peratus, ia telah mendorong penjualan yang besar.

“Sentimen negatif melonjakkan situasi turun naik pasaran dan mendorong FBM KLCI ditutup rendah, begitu juga dengan pasaran serantau,” katanya.

Justeru, beliau menambah pemulihan yang lebih perlahan dalam FBM KLCI dijangka minggu depan, sementara menunggu keputusan Rizab Persekutuan AS.

Mohd Sedek berkata pelabur juga menantikan perkembangan daripada pertemuan antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin hari ini.

“Memandangkan pasaran Malaysia ditutup untuk cuti umum sambutan Hari Malaysia, sebarang data kejutan mungkin kurang memberi kesan. Secara keseluruhan, pasaran akan kekal berhati-hati untuk minggu depan,” katanya.

Berdasarkan pergerakan Khamis hingga Jumaat, FBM KLCI jatuh 29.22 mata kepada 1,467.31 daripada 1,496.53 pada akhir minggu sebelumnya walaupun Wall Street dan bursa serantau yang lain kembali pulih selepas kegiatan jualan disebabkan kebimbangan berkenaan kenaikan kadar.

Bagi papan indeks, Indeks FBM Emas turun 153.64 mata kepada 10,474.58, Indeks FBMT 100 susut 160.80 mata menjadi 10,214.65, Indeks FBM Emas Shariah merosot 114.66 mata kepada 10,578.82 manakala FBM ACE lemah 24.73 mata untuk mencatatkan paras 4,833.75 dan FBM 70 kerugian 29.24 mata kepada 12,727.58.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 135.85 mata kepada 6,858.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 4.13 mata menjadi 181.47 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 325.70 mata kepada 16,491.48 manakala Indeks Tenaga mengukuh 30.46 mata pada 737.62.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 10.52 bilion unit bernilai RM7.59 bilion daripada 11.39 bilion unit bernilai RM7.86 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama lebih rendah kepada 6.91 bilion saham bernilai RM6.22 bilion daripada 7.01 bilion saham bernilai RM6.29 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah waran menguncup kepada 807.75 juta unit bernilai RM121.09 juta daripada 1.28 bilion unit bernilai RM205.47 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 2.8 bilion saham bernilai RM1.24 bilion daripada 3.07 bilion saham bernilai RM1.36 bilion minggu sebelumnya. – BERNAMA