Dr. Balanchandran Gopal Krishnan

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah mewujudkan jurang yang lebih besar antara kaum sepanjang 22 pemerintaan parti itu selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketua Penerangan DHPP Dr. Balanchandran Gopal Krishnan berkata, parti itu juga tidak menghormati kaum Melayu.

Justeru beliau sangat bersetuju dan menyokong tulisan terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Mengapa Pas Menolak PH?.

“Sepanjang 22 bulan PH menjadi kerajaan, mereka bukan sahaja telah mewujudkan jurang yang lebih besar antara kaum, bahkan tidak menghormati bangsa Melayu yang merupakan kaum majoriti di Malaysia di samping terus menyebarkan api kebencian terhadap Pas mahupun parti lain.

“Mereka juga dilihat tidak mempunyai “political will” untuk mewujudkan dan menjaga kesejahteraan dan keharmonian antara kaum,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Balanchandran, PH gagal menunaikan manifesto yang mereka kemukakan semasa pilihan raya umum.

Parti itu juga katanya, sibuk membongkar dan menuding jari kepada pihak lain atas kelemahan mereka sendiri ketika memerintah negara.

“Seolah-olah mereka pula yang berada di pihak pembangkang. Justeru, DHPP mengajak rakyat Malaysia yang layak, supaya turun mengundi dalam pilihan raya umum yang akan datang untuk memilih calon yang lebih berintegriti.

“Dan mampu mentadbir negara secara adil, sebagaimana yang telah ditunjukkan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Marilah kita bersama membina negara Malaysia yang lebih sejahtera!” katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataannya semalam berkata, Pas sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) berikutan pengalaman persefahamannya sebelum ini dengan beberapa parti yang ada bersamanya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah kesannya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya sehinggakan boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting.

Katanya, hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh dan PH menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN).

“Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat. Walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang Kerajaan Pusat sejak merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU14 kerana salah laku dan rasuah.

“Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga). Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” katanya dalam catatan Minda Presiden.-MalaysiaGazette