PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Polis menahan 52 pendatang tanpa izin termasuk tiga tekong di dua lokasi berasingan menerusi Op Nyah 1 Selangor di Kuala Langat dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata keseluruhan pendatang yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh berumur antara enam hingga 50 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan bermula 12.30 tengah malam di kawasan Pantai Long Beach, Morib dan di sebuah inap desa di Kampung Endah, Banting oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am.

“Semasa rondaan, (pihak berkuasa) telah terserempak dengan (11) pendatang warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak perempuan di dalam paya bakau di kawasan berkenaan.

“Soal siasat terhadap mereka membawa serbuan di inap desa Kampung Endah yang membawa penangkapan 41 pendatang dengan 37 daripadanya ialah warga Indonesia dan selebihnya empat warga Bangladesh.

“Siasatan awal menunjukkan tiga lelaki warga Indonesia turut berada di rumah tersebut dipercayai tekong yang menguruskan perjalanan mereka masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata hasil semakan juga mendapati kesemua pendatang terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan yang sah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati kesemua pendatang membayar purata antara RM2,000 hingga RM4,500 kepada sindiket bagi ditempatkan di sektor ladang dan pembinaan di sekitar Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan seterusnya dan disiasat di bawah kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA