SEREMBAN – Pimpinan Tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah) akan mempertimbangkan kerusi-kerusi untuk diberikan kepada Pemuda dan Angkatan Wanita Amanah Negara pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, Pemuda dan Wanita Amanah mempunyai hak untuk menuntut kerusi bagi dipertandingkan pada pilihan raya itu.
“Yang pentingnya, peluang bertanding. Kita pun tak ada meletakkan yang mana A,B,C, D kerana PRU akan datang kita tak tahu trend mengundi ke arah mana.
“Jadi, kami yang senior dalam parti ni pun, bertanding kali ketiga, kali keempat, baru menang masa kami dulu.
“Pemuda, wanita, AWAN berhak dan kita akan pertimbangkan mana yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional 2022 Parti Amanah Negara (Amanah) di sini, hari ini.
Semalam, Pemuda Amanah pada Konvensyen Pemuda melahirkan rasa kecewa dengan tindakan parti yang lebih terbuka untuk melepaskan kerusi ‘gred A’ kepada calon-calon muda daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Sedangkan, kata ketuanya, Mohd. Hasbie Muda, sayap Pemuda Amanah sendiri diberi kerusi ‘khidmat nasional’ dengan alasan ‘menebas lalang’.
Katanya, wajah atau imej besar Amanah dan PH juga perlu segar dan menarik agar anak muda dan pelbagai segmen lain kembali menyokong parti itu.
Baru-baru ini, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hasratnya untuk menyertai PH.
Alasan itu diberikan kerana hakikatnya, tiada jalan pintas menarik undi anak muda dengan hanya menyerap pihak lain di bawah payung besar PH. – MalaysiaGazette
Pemuda Amanah kecewa parti lepaskan kerusi ‘gred A’ kepada MUDA