KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan, Shahrul Saad, hari ini telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas beliau tidak dapat menyertai pasukan ke Chiang Mai, Thailand bagi menghadapi 48th King’s Cup 2022 bermula 22 hingga 25 September ini.

Shahrul telah melaporkan diri bersama pemain-pemain lain semalam tetapi pemantauan oleh doktor dan fisioterapis pasukan terhadap kondisi kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati beliau tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang kedua-dua perlawanan di Chiang Mai itu nanti.

”Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” kata Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon.

Dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Menurut Pan Gon, seorang lagi pemain iaitu Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai pada Isnin ini dan tiada penambahan pemain baharu lagi. – MalaysiaGazette