Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub usul ketika Konvensyen Nasional 2022 Parti Amanah Negara di Klana Resort Seremban, Negeri SembilanFoto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin dapat bertanding sebanyak 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah kerusi disasarkan untuk bertanding termasuk di Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, sebanyak 45 jumlah kerusi Parlimen bakal ditandingi di Semenanjung yang mana lebih daripada 27 kerusi pada (PRU14)

“Kita akan bertanding 40 kerusi Parlimen dan mungkin kita akan pergi ke 45 kerusi. Itu di Semenanjung. Jika dicampur Sabah dan Sarawak boleh jadi 50 kerusi.

“Itu paling tidak pun boleh meningkatkan posisi Amanah di persada politik tanah air. Sekarang kata sudah ada dalam bakul kita 40 hingga 45 kerusi Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penangguhan di Konvensyen Nasional Amanah di sini hari ini.

Salahuddin tidak menolak kemungkinan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja Bajet 2023 dibentang.

Jelas beliau, Amanah mesti bersedia untuk menghadapi PRU15 dan ketika ini bukan masanya untuk kita berseteru sesama sendiri.

“Isyarat di bawah menunjukkan kita ada peluang untuk menang. Tetapi jika asyik bertelagah peluang itu akan hilang begitu sahaja. Kenali musuh dan kenali betul-betul kawan dan kita bina kemenangan.

“Amanah adalah sebahagian daripada game changer. Ahli-ahli Parlimen Amanah menjadi sebahagian daripada pembuat dasar negara

“Kita menjadi ahli-ahli Parlimen yang membantu negara dan rakyat dengan membuktikan kita bersedia memikirkan hal yang lebih besar daripada mengambil kuasa,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas konvensyen berakhir, Salahuddin mengesahkan PH bersetuju untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi parti komponen masing-masing.

Jelas beliau lagi, PH juga tidak akan membuat pertukaran kerusi antara satu sama lain pada PRU15.

“Apa yang dibincangkan adalah kerusi yang ditinggalkan oleh Bersatu di mana pembahagian kerusi sudah selesai 70 peratus,” – MalaysiaGazette