Rafizi Ramli

CHERAS –  Tidak ada parti yang ‘sekepala’.

Demikian kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengulas mengenai kenyataan terbaharu Presiden Parti  Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bahawa Pakatan Harapan (PH) berhadapan cabaran amat sukar berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akibat pelbagai masalah dalaman.

“Kalau PKR tidak ada lagi masalah dalaman. Saya faham parti masing-masing ada pandangan masing-masing, itu normal.

“Tidak ada parti sekepala, kalau sekepala tidak bukan parti jadi parti komunis. Ini demokrasi, biasalah ada perbezaan pandangan saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti lain, kamu dengar sana sini. Bagi saya setiap isu mesti dilihat dari isinya,” katanya ketika sidang media selepas pelancaran aplikasi CISTA PKR di Pusat Belia Antarabangsa.

Bagaimanapun jelas Rafizi, prinsip demokrasi memberi ruang untuk mana-mana parti dalam gabungan tersebut untuk menyuarakan pandangan dan pendirian khususnya melibatkan ideolisme dan perjuangan yang perlu senada.

Selain itu katanya, rakyat perlu bijak menilai bahawa masalah dalaman yang dihadapi PH bukan berpunca daripada perubahan jawatan dan kuasa.

“Setiap parti perlu selesaikan masalah dalaman. Kalau perbezaan pendapat yang bising bukan soal berebut jawatan, tapi sebab perjuangan parti, isu asas, untuk kekalkan idealism saya harap rakyat boleh bagi kami ruang.

“Kalau ada pergeseran dalam Amanah dan parti lain dalam PH itu ia sebahagian daripada pengalaman.

“Ada masanya kami saling puji antara satu sama lain. Masa PKR selesaikan masalah dalaman pun, parti lain bagi kami ruang dan memahami,” tambahnya.

Semalam, Mohamad ketika merasmikan Konvensyen Amanah Nasional 2022 berkata, masih wujud sifat riak dan gejala yang tidak disenangi di dalam PH. – MalaysiaGazette