Mahkamah Majistret Kemaman

KEMAMAN – Sembilan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah berasrama di sini didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga rakan mereka bulan lepas.

Kesemua mereka berumur 16 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan dengan menumbuk dan menyepak ketiga-tiga mangsa yang berusia 15 tahun di asrama sekolah tersebut pada 11.30 malam, 23 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhani Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Akmal Wahidah Abd Halim.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM2,000 hingga RM5,500 setiap seorang dan menetapkan 12 Okt ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA