Yazira Azizi menunjukkan buku Wayside Trees selepas Majlis Pelancaran Buku Wayside Trees the Natural Pillars and Roofs of The Perdana Botanical Garden dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ranjer Taman di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerbitkan buku bagi merekod pokok yang ada di Taman Botani Perdana. 

Buku bertajuk Wayside Trees The Natural Pillars And Roofs Of The Perdana Botanical Perdana dilancarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah di sini hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah beramah mesra dengan Ranjer Taman selepas Majlis Pelancaran Buku Wayside Trees the Natural Pillars and Roofs of The Perdana Botanical Garden dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ranjer Taman di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2022.

Beliau berharap penerbitan buku tersebut dapat meningkatkan kesedaran pembaca tentang nilai-nilai pokok di taman berkenaan khsususnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buku yang sama mengandungi maklumat penting mengenai pokok yang termasuk nama saintifik, tempatan, taburan, habitat serta gambar bagi memudahkan proses pengecaman dan pembelajaran.

 “Jadi dengan penghasilan buku ini sesiapa yang berkunjung ke taman ini boleh belajar mengenal pasti nama, habitat serta asal  pokok-pokok.

“Pengunjung akan mendapat satu input selain daripada rekreasi, beriadah dan menikmati keindahan taman.” katanya.

Beliau juga mengharapkan dengan buku tersebut masyarakat semakin menyayangi dan sama-sama menjaga kelestarian pokok-pokok berkenaan.

Dalam pada itu, Mahadi juga menyerahkan watikah renjer Taman DBKL di Taman Botani Perdana hari ini.- MalaysiaGazette