Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin setuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera.

Bagaimanapun beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau tidak mahu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun Muhyiddin medakwa, jika Ismail Sabri gagal menguruskan ekonomi dengan baik maka tidak ada pilihan selain mengadakan PRU-15.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata, selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), beliau telah menyuarakan kebimbangan mengenai situasi ekonomi semasa.

Malah beliau turut mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan termasuk melaksanakan semula moratorium untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terkesan.

“Banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.

“Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini.

“Industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah. Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet,” kata Muhyiddin.

Namun bekas Perdana Menteri itu mendakwa, setakat ini, masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu tersebut.

Muhyiddin juga mendakwa, Ismail Sabri juga tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.

“Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Is this okay? No, it is not okay.

“Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting. Mungkin kerana itulah hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini,” katanya.

Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah.

Ini termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang murah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.