Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad menyerahkan kepada pihak berkuasa negeri Kelantan untuk mengambil tindakan terhadap penganjuran Konsert Riuh Sokmo! yang didakwa tidak mencerminkan negeri serambi Mekah.

Idris berkata, pihak berkuasa negeri berhak mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan hiburan yang telah ditetapkan.

“Yang dibuat itu bukan daripada (anjuran) kerajaan Kelantan. Dan ketika penganjur minta kebenaran kata mereka memenuhi permintaan sebab Kelantan ada peraturan-peraturan hiburannya.

“Berkaitan pelanggarannya, terpulang kepada pihak berkuasa negeri,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial, di sini, hari ini.

Jelas beliau, difahamkan pihak penganjur sudah memberi jaminan tidak akan berlaku pelanggaran peraturan hiburan di negeri berkenaan sebelum konsert tersebut diadakan.

“Sebab masa mereka minta nak buat kata tidak begitu (tidak bercampur). Itu antara syarat kelulusan itu. Jadi tindakan kena tunggu kerajaan negeri,” tambah Idris.

Terdahulu Pemuda Pas Kelantan menyelar konsert berkenaan yang dilihat bertentangan dengan dasar “Membangun Bersama Islam” yang dibawa kerajaan negeri.

Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pihaknya menerima pelbagai pandangan yang berasaskan kebimbangan suburnya budaya konsert di negeri itu.

Antara yang dikritik adalah hadirin yang datang ke konsert berkenaan tidak dibataskan kepada kaum wanita dan lelaki.

Sehubungan itu Mohamad Kamal berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya.

Konsert Riuh Sokmo! Bersama Celcom menampilkan persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Masdo dan Faizal Tahir.

Konsert berkenaan dianjurkan dengan kerjasama penyedia telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh dan Padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh pada 16 hingga 18 September lalu. – MalaysiaGazette