PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan berkaitan empat agenda dalam memperkukuhkan khidmat kebombaan dan penyelamatan negara yang berjumlah RM291.4 juta.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia melibatkan perolehan bagi jentera-jentera penting bomba seperti enam buah Fire and Rescue Boat (FRB) bernilai RM15.5 juta, lima unit Urban Search and Rescue (USAR) (RM7.5 juta) dan perolehan 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) bernilai RM145.8 juta.
Menurut beliau, peruntukan juga merangkumi perolehan bagi pembangunan projek Command, Control, Communications, Computers and Intelligent (C4iFRDM) bagi mempertingkatkan lagi sistem komunikasi kecemasan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kelengkapan teknologi maklumat yang terkini dan sistematik.
“Peruntukan hampir RM40 juta turut membabitkan pembangunan Fasa 3 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu yang meliputi pembangunan fasiliti latihan seperti pembinaan Simulator Latihan Air Pantas, Kompleks Latihan Menyelamat Air, Kecemasan Lebuhraya dan Penyelamat Kemalangan Trafik serta Simulator Memadam Kebakaran Industri.
“Akhir sekali, kerajaan juga telah meluluskan permohonan bagi projek Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Bomba di Subang bernilai RM33.6 juta yang merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, hangar, stor logistik, bengkel kejuruteraan, heliport, stesen bahan api pesawat dan lain-lain kemudahan.
“Pengumuman ini selaras dengan komitmen kementerian untuk memperkukuhkan lagi khidmat kebombaan dan penyelamatan Wira Merah agar setanding dengan keupayaan negara-negara maju,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Seminar Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan) 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berharap penganjuran seminar itu memperlihatkan langkah yang seiring dengan polisi agensi kawal selia terkini yang menekankan tentang amalan industri yang baik, tanggungjawab bersama dan kawal selia kendiri.
Jelas beliau, ia antara usaha dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat bertepatan dengan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia yang menjadi matlamat utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Dua perkara pokok yang menjadi keutamaan KPKT khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia adalah aspek pencegahan dan keselamatan kebakaran terutamanya di premis atau bangunan.
“Penguatkuasaan yang ketat terhadap pematuhan kepada keperluan keselamatan yang komprehensif dan ekstensif telah dilaksanakan oleh pihak JBPM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan bangunan-bangunan yang dibina adalah selamat didiami.
“Kajian penambahbaikan kepada undang-undang yang sedia ada sangat kritikal bagi memastikan undang-undang yang digunakan adalah terkini, relevan dan memenuhi kehendak-kehendak semasa.
“Selain itu, ia dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri dan golongan profesional terutamanya berkaitan dengan keperluan sistem pepasangan keselamatan kebakaran,” katanya.
Justeru, jelas Reezal Merican, beberapa pindaan telah dilaksanakan JBPM termasuk Peraturan-peraturan Perkhidmatan Bomba (Perakuan Bomba) (Pindaan) 2020, Perintah Perkhidmatan Bomba (Premis Ditetapkan) (Pindaan) 2020, serta Undang-undang Kecil Bangunan Seragam, UBBL (Pindaan) 2021.
“Pindaan terbaru tersebut telah diwartakan pada September 2021 di mana ia melibatkan penambahbaikan bagi tafsiran baharu, pindaan tafsiran, pindaan pematuhan dasar baharu, pembetulan editorial dan pengguguran,” katanya. – MalaysiaGazette