Polis Kajang sedang menyiasat dua laporan polis berkenaan penderaan anjing yang disyaki berlaku di kawasan daerah tersebut serta tular di media sosial sejak semalam. Ihsan IPD Kajang

KAJANG – Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung perselisihan faham sekumpulan orang mengenai penganiayaan anjing di Bandar Teknologi, di sini, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan pertama mengenai insiden itu daripada seorang wanita warga pada jam 11.30 malam Jumaat lalu.

Menurutnya, wanita terbabit yang melihat perbuatan seorang lelaki melastik anjing liar yang berada di hadapan rumahnya menegur individu terbabit.

“Kemudian, suami wanita terbabit ke rumah lelaki yang melastik anjing liar itu untuk menegur dan menasihatinya supaya tidak melakukan perbuatan mendera atau khianat ke atas haiwan sekaligus menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Gara-gara tidak tidak puas hati dengan sikap individu itu, wanita terbabit telah tampil membuat satu laporan polis dan menularkan video yang berkaitan kejadian ini di Facebook,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zaid, polis juga menerima laporan kedua daripada seorang lelaki pada jam 8.55 malam kelmarin membabitkan video tular memaparkan seorang lelaki pergi ke sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang bagi menasihati jirannya supaya tidak mendera anjing.

“Di dalam video itu memaparkan sekumpulan lelaki mendekati pengadu yang ketika itu sedang memberikan nasihat berkenaan layanan baik terhadap haiwan dan tidak melakukan penganiayaan yang bukan saja salah daripada sudut agama, tetapi juga undang-undang.

“Tiba-tiba keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku sedikit kekecohan dengan jerit menjerit guna perkataan kesat dan pengadu dicekak di leher baju oleh salah seorang lelaki lain yang tidak puas hati dengannya.

“Pengadu berasa terancam dengan perbuatan lelaki terbabit dan terus membuat laporan polis demi keselamatan diri seandainya ada perkara tidak diingini berlaku,” kata beliau.

Berikutan itu, katanya polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, kertas siasatan kedua disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan juga di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Muhamad Ali Hamzah di talian 019-8660324. – MalaysiaGazette