Artikel ini ditulis oleh pembaca MalaysiaGazette, Asyraf Hakimi
MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan gagasan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam usaha untuk memperjuangkan golongan Melayu. Malangnya, skeptisisme dalam kalangan rakyat tidak boleh dielakkan apabila pengumuman berhubung gagasan itu dibuat.
Melihat kepada perjalanan karier politik Mahathir sejak beberapa tahun ini, beliau tidak pernah setia kepada satu parti sahaja. Tiga parti dalam masa enam tahun. Itu rumusan boleh dicapai mengenai karier politik Mahathir.
Kalau disingkap semula, Mahathir hanya menyatakan ‘taat setianya’ kepada sesuatu parti sekiranya tujuannya tercapai serta demi kepentingannya sendiri. Sebagai contoh, Mahathir didakwa hanya menggunakan UMNO untuk menjalankan agendanya sahaja seperti mendapatkan ‘kekayaan’ untuk keluarganya.
Mahathir juga sanggup memecahbelahkan UMNO untuk mendapatkan kedudukannya. Apabila UMNO tidak lagi mengikut telunjuknya, Mahathir menubuhkan Bersatu. Selepas ‘menggunakan’; ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan semula pengaruh serta kuasanya, Mahathir mengkhianati mereka.
Janji Mahathir untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar tidak pernah ditunaikan kerana itu hanya mainan politik beliau semata-mata. Mahathir kemudiannya menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersama-sama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Malangnya parti itu terbukti gagal apabila mereka tidak memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan kehilangan semua wang deposit.
Enggan melepaskan sebarang peluang untuk memimpin negara ini buat kali ketiga, Mahathir ‘mencuba nasib’ membentuk GTA dengan harapan bahawa beliau akan dipilih sekali lagi sebagai Perdana Menteri. Beliau menggunakan UMNO, Pejuang, PH dan GTA untuk mencapai agendanya. Apa yang beliau lakukan selama ini tiada kena mengena dengan perjuangan untuk orang Melayu namun menggunakan orang Melayu untuk mendapatkan kuasa.
Atas dasar itu, Mahathir cuba membentuk doktrin bahawa beliau adalah pro-Melayu dengan membentuk tiga parti dalam masa enam tahun. Rakyat sebenarnya sudah tahu agenda Mahathir. Beliau bukan ingin memperjuangkan orang Melayu tetapi agenda peribadinya.
Kalau benar mahu memperjuangkan orang Melayu, mengapa sanggup ludah ke muka sendiri apabila mengumumkan kerjasama dengan DAP ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?. Rakyat percaya bahawa Mahathir hanya menggunakan pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk terus mempromosikan agenda Melayu serta Islamnya selepas beliau
ditolak oleh UMNO.
Kit Siang percaya Mahathir sudah berubah namun selepas peristiwa Langkah Sheraton, pemimpin DAP itu nyata kecewa dengan Mahathir. Kit Siang mula sedar Mahathir hanya mempergunakan beliau dan DAP untuk mempromosikan agendanya sahaja. Itulah diri Mahathir yang sebenarnya. Beliau tidak pernah berubah dan hanya menggunakan orang lain untuk kepentingan peribadinya.
Populariti Mahathir sebenarnya sudah merosot dalam PRU-14. Partinya hanya memenangi 13 kerusi sahaja ketika itu. Namun PH membenarkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri tetapi beliau menggunakan jawatan itu mengukuhkan Bersatu dan popularitinya. Sebenarnya, Mahathir hanya ‘mendorong’ orang lain untuk berbalah sesama sendiri.
Atas sebab itu, kebanyakan ahli Pakatan Harapan keluar beramai-ramai dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN). Mereka sedar Mahathir adalah ‘perosak&’ parti. Beliau hanya mahu melemahkan orang lain bagi mengukuhkan pengaruhnya.
Apabila beliau merasakan usaha itu gagal, Mahathir memilih untuk keluar dan menubuhkan parti lain. Kitaran itu sangat sinonim dengan Mahathir ketika ini.
Penubuhan GTA untuk melawan Barisan Nasional (BN) hanyalah retorik semata-mata. Melihat kepada keputusan PRN sebelum ini, GTA tidak relevan bagi para pengundi. Mahathir sendiri korup di mata rakyat, apatah lagi mahu menyokongnya lagi. GTA tiada bezanya dengan parti politik lain di negara ini.
Rakyat dari Perlis hingga Sabah sudah bijak dengan segala permainan politik Mahathir. Mahathir sahaja belum menyedarinya dan mungkin tidak akan sedar. Beliau kini hanyalah ‘ikan bilis’ yang sudah tua namun masih menganggap dirinya seekor
‘jerung putih’.
– Asyraf Hakimi
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette
Anda mempunyai artikel atau pandangan sila emel kepada [email protected]
Betul sangat . Kembalilah ke sejadah dirumah mu .