Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Keterangan saksi pembelaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam perbicaraan membabitkan dana Yayasan Akalbudi tidak wajar ditolak mahkamah.

Peguam bela mewakili Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, kenyataan Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican penting bagi prosiding ini.

Menurutnya, keterangan Fadzlette berkaitan kecuaian yang dilakukan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly telah memalitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan kes penyelewengan Yayasan Akalbudi.

Tambahnya, hujah pihak pendakwaan untuk memadam beberapa perenggan tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya keterangan Fadzlette perlu diterima.

Fadzlette yang merupakan bekas Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri kini adalah Pengarah Media Presiden UMNO.

Bagaimanapun, katanya, hujah yang menyatakan Mazlina mempunyai niat tidak baik terhadap bekas majikannya itu tidak boleh diterima memandangkan tiada fakta berhubung dakwaan tersebut.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memohon mahkamah supaya perenggan 16 hingga 30 dalam pernyataan bertulis Fadzlette dipadam atas dakwaan percubaan untuk menggugat kredibiliti Mazlina yang merupakan merupakan salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes tersebut.

Prosiding bersambung esok dengan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah akan membuat keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan itu.

Mahkamah sepatutnya mendengar keterangan Fadzlette selepas Ahmad Zahid selesai memberikan keterangan bela diri pada 30 Ogos lalu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Januari lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Ahmad zahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette