MCW akta pendanaan politik GLC komisen judi

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) percaya bahawa peraturan pengisytiharan harta yang ditetapkan terhadap semua ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk ahli badan kehakiman akan memberi pelbagai kesan positif.

Menurut badan berkenaan, golongan terbabit perlu memberi justifikasi kepada pendapatan yang berlebihan dan terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada untuk menerimanya atau tidak.

MCW juga berharap SPRM akan menyiasat dengan terperinci pengisytiharan harta tersebut dan mengambil segala tindakan yang perlu demi memastikan rasuah dalam kalangan kelompok berkenaan dapat dikekang.

“Ruang dan peluang yang ada pada kelompok ini serta peruntukan atau tender besar yang dikeluarkan oleh agensi tersebut pasti menimbulkan pelbagai keraguan yang munasabah.

“MCW berharap peraturan ini dikuatkuasakan dan dilaksanakan dengan segera dalam membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius memerangi rasuah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keputusan mengenai peraturan perisytiharan harta tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. – MalaysiaGazette