PUTRAJAYA – Tidak sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim tengkujuh yang diramal berlaku hujung November nanti.
Pengerusi Gabungan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bencana banjir yang berlaku sekarang tidak sama seperti yang berlaku pada waktu dulu.
Menurutnya, perubahan iklim yang melanda dunia berikutan pemanasan global menyebabkan cuaca menjadi tidak menentu.
Katanya, perubahan iklim boleh mendatangkan jumlah hujan yang sangat lebat dan luar biasa sehingga mengakibatkan banjir besar yang boleh meragut nyawa.
“Sekarang ini ada perubahan cuaca. Perubahan cuaca ini memperlihatkan malapetaka yang dahsyat sampai tengelam rumah.
“Jadi kalau diadakan pilihan raya di waktu climate change, dulu tak apa, dulu bulan November ada banjir tapi tak dahsyat. Sekarang ini banjir dahsyat. Boleh jadi orang mati,” kata Dr. Mahathir kepada MalaysiaGazatte.
Beliau ditemui selepas menemui lebih 50 penggiat seni di Yayasan Kepimpinan Perdana dalam majlis ‘Bual bicara bersama negarawan’ di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya PRU15 diadakan ketika musim banjir ia juga boleh merampas hak pengundi untuk memilih kerajaan baharu.
Justeru Dr. Mahathir menyarankan supaya PRU-15 diadakan tahun hadapan.
“Boleh jadi orang tak boleh mengundi jadi habislah hak orang kerana banjir orang tak boleh mengundi, tak boleh pergi tempat mengundi. Ya, sampai tahun depan kalau perlu,” kata Dr. Mahathir.
Parti Barisan Nasional sebelum ini meminta supaya PRU15 diadakan pada hujung tahun ini.
Pengerusinya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.
Terdapat desas-desus Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja Belanjawan 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat awal bulan depan.
Sebilangan pemimpin pembangkang daripada Pakatan Harapan turut menyuarakan agar PRU15 tidak diadakan hujung tahun ini berikutan ramalan banjir yang melanda negara.-MalaysiaGazette
Haaa…masa ko bubar parlimen selama 22 tahun ko ada fikir ker psl climate change? poodaaaahhh