- LAKUKAN pemeriksaan telinga atau ujian audiometri sekurang-kurangnya setahun sekali terutama mereka yang terdedah pada bunyi bising yang kuat dan kerap.- Gambar hiasan.

TAHI telinga keras dan tersumbat mampu menyebabkan seseorang mengalami tinnitus iaitu telinga berdesing atau berdengung tanpa melibatkan sebarang rangsangan dari luar.

Pegawai Audiologi Hospital Pakar KPJ Perlis, Nur Najihah Najwa Jamil berkata, tinnitus ialah gejala-gejala penyakit boleh menyebabkan tahap kesihatan seseorang merosot.

Nur Najihah Najwa

“Majoriti mereka yang dikesan tinnitus ialah golongan dengan kesan-kesan seperti kurang pendengaran, sakit kepala dan vertigo.

“Sekiranya tinnitus berlaku dalam tempoh masa yang panjang serta berulang seseorang boleh mengalami masalah psikologi yang serius,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Nur Najihah berkata, punca-punca tinnitus yang dihadapi seseorang perlu difahami sepenuhnya sebelum rawatan diberikan.

“Sebenarnya terdapat beberapa rawatan bagi tinnitus iaitu ubat-ubatan, masking dan pembedahan terutamanya melibatkan kes tumor di telinga.

“Kebiasaannya, ubat-ubatan yang diberikan ialah untuk menghilangkan keresahan, ubat penenang dan ubat tidur.

“Masking pula ialah alat bantu bagi sesiapa yang mempunyai masalah pendengaran, tinnitus masker dan alat-alat tinnitus.

“Namun, yang paling utama ialah terapi dan mindset (pola fikir) iaitu kita tidak mempedulikan sangat perihal berdesing atau berdengung itu,” katanya.

Nur Najihah memberitahu, beberapa langkah-langkah pencegahan tinnitus seperti mendengar bunyi yang bersifat semulajadi seperti bunyi ombak, air mengalir bagi mengurangkan bunyi berkaitan tinnitus dan paling utama kurangkan terdedah pada bunyi bising untuk tempoh masa yang lama.

“Sebaiknya lakukan pemeriksaan telinga atau ujian audiometri sekurang-kurangnya setahun sekali terutama mereka yang terdedah pada bunyi bising yang kuat dan kerap seperti mereka yang terlibat dengan mesin dan jentera berat.

“Bagi mereka yang kerap menggunakan fon telinga untuk menonton filem, mendengar muzik dan melayari sosial media sebaiknya jangan melebihi tiga jam selain kadar suara yang tidak terlalu kuat bagi mengelak saraf telinga rosak yang mengundang tinnitus,” katanya. – MalaysiaGazette