Antara 30 keluarga mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket scammer di Kemboja, Laos dan Myanmar memegang plakad sebagai tanda merayu dan memohon campur tangan kerajaan ketika menyerah memorandum kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan di luar negara dan rakan sebaya antara faktor segelintir rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Kebanyakan mangsa yang terlibat berusia antara lingkungan 19 tahun hingga 40 tahun dan sindiket itu dipercayai menawarkan pelbagai pekerjaan dengan bayaran lumayan melalui platform iklan di media sosial dan Telegram.

Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, adiknya telah terpedaya menerusi iklan peluang kerjaya di Facebook yang menawarkan jawatan sebagai jurutera komputer berserta gaji yang lebih tinggi berbanding negara ini.

“Sewaktu negara dilanda pandemik, adik saya cuba mencari pekerjaan secara online menerusi Facebook dan dia ditawarkan gaji yang lumayan di luar negara, penginapan berserta tiket penerbangan percuma untuk ke negara itu.

“Apabila dia sampai di sana, macam-macam terjadi. Sebaik mereka dapat adik saya, dia perlu ikut segala arahan sindiket ini. Jika tidak patuh, mereka akan jual mangsa dari satu bos ke bos yang lain.

“Difahamkan, sindiket ini bawa mangsa dari Malaysia ke Thailand kemudian ke Kemboja, Vietnam, Myanmar dan Laos. Kalau mangsa tidak buat kerja atau prestasi pekerja itu tidak memuaskan, sindiket ini akan menganiaya mangsa itu, ini yang saya dapat bagi tahu,” katanya tanpa mendedahkan identiti kepada media.

Antara ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket scammer di Kemboja, Laos dan Myanmar yang bersedih ketika menyerah memorandum kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Tambahnya, adiknya tidak dapat dihubungi  kerana mangsa sentiasa dipantau oleh sindiket terbabit yang bersenjata api malah dimaklumkan mangsa susah untuk melarikan diri kerana aktiviti jenayah itu turut melibatkan campur tangan  pihak berkuasa.

Difahamkan, kesemua mangsa kini tertekan untuk melepaskan diri kerana dikerah menjadi hamba sindiket sebagai buruh paksa, scammer dan pelbagai kegiatan haram lain.

“Saya tidak dapat hubungi dia selalu tetapi dia bagi tahu kami jangan dedahkan pada sesiapa sebab keadaan mereka di sana tidak selamat. Setiap hari lihat mangsa yang lemah akan dipukul, dibunuh, dikunci dalam kotak hitam serta dikenakan renjatan elektrik.

“Mereka memang sangat takut dan tertekan ditambah mangsa dipantau dengan senjata api di semua tempat. Adik saya bagi tahu, ada mangsa cuba larikan diri ke balai polis negara itu tapi polis hantar semula mangsa ke ejen sindiket.

“Kebanyakan pihak polis di sana terlibat dengan kegiatan rasuah dan jenayah. Saya harap Perdana Menteri dapat membantu bawa pulang ahli keluarga kami,” ujarnya dalam nada sebak.

Semalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mewakil 30 ahli keluarga mangsa hadir untuk menyerahkan memorandum memohon pihak kerajaan membantu campur tangan menyelesaikan isu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Serahan memorandum dibuat di Pejabat Perdana Menteri oleh Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al Ehsan dan Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN).

Antara ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket scammer di Kemboja, Laos dan Myanmar yang bersedih ketika menyerah memorandum kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang lain mewakili kaum ibu meluahkan rasa sebak dan merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tindakan segera dapat diambil oleh kerajaan untuk membawa pulang anaknya.

Katanya, anaknya yang berusia 19 tahun menjadi mangsa di negara yang terlibat sejak April lalu kerana percayakan rakan sebaya  terdapat pekerjaan di luar negara yang menawrkan gaji yang lumayan.

Dia dimaklumkan anaknya sering diseksa oleh sindiket itu malah merayu untuk segera diselamatkan dan dibawa pulang semula ke Malaysia.

“Saya wakil dari semua ibu mangsa ini, selepas anda semua dengar cerita yang disampaikan oleh kami ini adalah benar. Saya merayu pada Datuk Seri Ismail Sabri, tolong selamatkan anak kami..

“Bila dengar cerita kami ini, memang keadaan mereka terdesak di sana. Saya sebagai ibu sudah berbulan-bulan susah hati dan saya memang tidak dapat kawal perasaan saya. Saya merayu kalau boleh Perdana Menteri selamatkan anak-anak kami, itu yang penting,” katanya dalam nada sedih.- MalaysiaGazette