Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Wira Putra Malaysia menyarankan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy masuk sekolah rendah semula untuk beliau belajar dan mengasah pengetahuannya mengenai nilai kenegaraan serta meningkatkan jati diri dalam menghayati Rukun Negara.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, ini kerana sikap penerimaan dan keterbukaan berhubung Perlembagaan Persekutuan dalam sistem pendidikan sangat bercangah dan bersifat double standard.

“Beliau sudah melangkaui usia warga emas, menjadi pemimpin dalam parti dan kerajaan, tetapi masih menyalah tafsir penekanan nilai Perlembagaan Persekutuan dalam sistem pendidikan.

“Beliau masih menyalahkan mengenai penekanan di sekolah kebangsaan dengan menyatakan, sistem hanya tertumpu kepada ciri budaya dan agama satu komuniti etnik menyebabkan pendidikan sekolah kebangsaan tidak kondusif kepada segmen etnik lain.

“Yang perlu setiap pemimpin di Malaysia walau apa jua bangsa dan etnik adalah menerapkan kefahaman yang benar, bukan mempolitikkan sistem pendidikan dengan pandangan rasis yang dangkal dan berat sebelah terhadap sistem pendidikan negara.

“Walaupun sekolah antarabangsa mempunyai silibus atau sistem pendidikan yang dilihat holistik, tetapi kalau penerapan nilai toleransi, memahami dan menghormati isi Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara  8, 11, 152 dan 153 yang telah terangkum dalam Rukun Negara itu gagal diterapkan, maka kita akan melahirkan generasi masa depan yang lemah jati diri kenegaraannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, sebuah portal menyiarkan kenyataan Ramasamy sebagai menjawab dakwaan dakwaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai sistem pendidikan negara yang telah dipecahbelahkan oleh sekolah antarabangsa.

Beliau dilaporkan berkata, bukan ketiadaan kualiti pendidikan semata-mata, tetapi penekanan kepada ciri budaya dan agama satu komuniti etnik yang menyebabkan pendidikan sekolah kebangsaan tidak kondusif kepada segmen etnik lain – sehinggakan kemasukan kanak-kanak bukan Melayu ke peringkat sekolah kebangsaan mungkin telah merosot selama ini.

Ramasamy turut menafikan kemerosotan sekolah kebangsaan dan menjadi tidak popular adalah berpunca dari kewujudan sekolah antarabangsa.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan berkata, Wira Putra pada masa ini kekal menggesa dan menuntut agar segera diwujudkan sekolah satu aliran dan tidak dipecah-pecahkan lagi bagi menjamin masa depan generasi muda yang mempunyai nilai patriotisme dan nasionalisme yang tinggi bagi menjaga negara ini pada masa akan datang. – MalaysiaGazette