Lima bungkusan yang disyaki syabu seberat 5.4 kilogram dirampas dari empat suspek yang ditangkap di parkir kereta Taman Sri Sentosa baru-baru ini. - Gambar ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Walaupun pernah diberkas polis beberapa kali atas kesalahan jenayah namun tindakan sekumpulan lelaki masih tidak serik-serik bergelumang dengan pengedaran najis dadah.

Tindakan seorang suspek yang memiliki rekod tangkapan jenayah narkotik lampau yang dalam proses hendak menyerahkan syabu seberat 5.4 kilogram (kg) kepada pelanggan dipatahkan polis.

Suspek antara tiga lagi rakannya itu dipercayai mendalangi sindiket pengedaran bekalan dadah yang diperoleh dari sebuah negeri utara tanahair yang ditahan di ibu negara.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pada 19 September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan satu operasi khas sebagai Ops Tobias.

“Dalam operasi itu, seramai empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 34 hingga 43 tahun yang merupakan ahli sindiket dadah berjaya ditangkap di kawasan tempat letak kereta di Taman Sri Sentosa.

“Hasil tangkapan suspek menerusi Ops Tobias itu, pemeriksaan lanjut kemudiannya berjaya merampas lima bungkus disyaki dadah jenis syabu seberat 5.4 kg yang dipercayai untuk pasaran sekitar ibu negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Yahaya, kesemua suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum tiga daripadanya disahkan positif ganja.

Menurutnya, nilai rampasan dadah syabu dianggarkan bernilai RM193,680 dan suspek pertama ditangkap semasa hendak mengedar barang terlarang itu kepada pelanggan tetapnya iaitu penagih dadah kenalan mereka.

Siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan bergerak aktif sejak empat bulan yang lalu di ibu negara dan membekalkan dadah kepada pelanggan yang dikenali sahaja mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut pasukan narkotik juga mendedahkan dadah syabu yang dirampas itu disyaki diperoleh dari sebuah negeri utara Semenanjung untuk diedarkan untuk pasaran di ibu negara.

“Kesemua suspek berkenaan tidak ada pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan terlarang itu sebagai punca pendapatan utama.

“Selain itu, tiga daripada suspek juga telah beberapa kali ditangkap atas kesalahan dadah sebelum ini dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan narkotik,” ujarnya.

Kesemua suspek kini telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 26 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat lanjut.

“Siasatan sedang diteruskan oleh polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

“Kesemua dadah yang dirampas adalah untuk kegunaan pasaran di sekitar ibu negara dan boleh digunakan oleh 10,760 penagih dan polis akan terus memantau secara rapat sebarang kegiatan barang terlarang itu. – MalaysiaGazette