Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR – Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mendakwa keracunan makanan menjadi punca beliau pitam ketika menghadiri program di Sungai Besar, Sabtu malam.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, hampir 20 program dalam masa dua hari terpaksa dihadiri menyebabkan kesihatannya merudum.

“Keadaan bertambah buruk lagi apabila saya didapati terkena keracunan makanan di dalam salah satu majlis tersebut sehingga menyebabkan saya pitam dan akhirnya rebah,” katanya.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Jamal memaklumkan telah selesai menjalani rawatan di Pusat Perubatan Prince Court di sini dan dibenarkan pilang pada tengah hari tadi.

Ujarnya, pegawai perubatan mengesahkan kesihatannya kembali normal dan sihat untuk bertugas.

Sementara itu, Jamal memberitahu, penyakit kanser paru-paru tahap empat yang dihidapi sebelum ini telah pulih sepenuhnya, berdasarkan pemeriksaan susulan pihak hospital.

Dalam pada itu, Jamal turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang meluangkan masa untuk melawat dan mendoakan kesihatannya ketika terlantar sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast