Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican memberitahu mahkamah bahawa saksi utama pendakwaan, Setiausaha Eksekutif Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly sebagai seorang yang cuai dan tidak mempedulikan arahan pegawai atasan.

Malah Fadzlette yang merupakan saksi pembelaan berkata, Mazlina tidak hormat kepadanya ketika berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri kerana beranggapan hanya Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhak mengeluarkan arahan kepadanya.

“Datuk Seri Ahmad Zahid pernah memaklumkan kepada saya untuk memantau tindakan Mazlina kerana pangkatnya lebih tinggi.

“Saya juga maklum dengan isu-isu kecuaian Mazlina antaranya berkenaan kesilapan beliau berhubung pengendalian akaun peribadi Datuk Seri Zahid,” katanya ketika membacakan pernyataan bertulis.

Beliau yang kini merupakan Pengarah Media Presiden UMNO menyatakan demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Menurut Fadzlette, Mazlina suka bersendirian, tidak berkongsi pendapat mahupun bergaul dengan pegawai lain serta kerap tidak hadir mesyuarat mingguan di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, mahkamah membenarkan sebahagian besar keterangan bertulis Fadzlette dimasukkan dalam keterangan bagi kes pembelaan Ahmad Zahid manakala tiga perenggan dalam keterangan itu dipadamkam.

Collin berkata, mahkamah berpuas hati dengan sebahagian besar pernyataan 34 perenggan saksi diterima sebagai keterangan kerana ia berhubung kait secara langsung dengan isu teras kes pembelaan.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette