Papan tanda arah yang telah digazetkan sebelum susur keluar ke Jalan Taman Putra dan Hulu Langat (Exit 1907).

KUALA LUMPUR – Papan tanda yang dipasang di sepanjang Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan dan telah mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut kenyataan Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd., papan tanda itu dipasang pada gantri yang terletak di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang.

“Manakala, sebagai inisiatif yang diambil pihak perunding dilantik dan syarikat, satu lagi papan tanda tambahan turut dipasang di tengah-tengah cabang simpang di atas papan tanda arah.

“Oleh sebab kekangan kawasan, saiz papan tanda tambahan yang digunakan adalah lebih kecil berbanding papan tanda sedia ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn.
Bhd. (Prolintas).

Menurutnya kenyataan itu, bagaimanapun, susulan maklum balas dan pandangan orang ramai di media sosial yang tular baru-baru ini, pihak syarikat memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta merta agar tidak mengelirukan
pengguna lebuh raya berkenaan.

Katanya, bahagian operasi Lebuhraya SUKE komited untuk terus menambah baik perkhidmatan disediakan serta sedang mereka bentuk papan tanda tambahan baharu yang lebih praktikal dan
dijangka siap dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Sementara itu, Prolintas berkata, struktur binaan Lebuhraya SUKE adalah selamat dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan serta menerima kelulusan yang sewajarnya seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Konsesi (CA), sekali gus menyangkal dakwaan terdapat bahagian lebuh raya yang sudah beroperasi tidak selamat untuk digunakan. – MalaysiaGazette