Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengalaman dikhianati oleh Bersatu sehingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020 menjadi faktor PKR berhati-hati terhadap MUDA.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan MUDA untuk menyertai PH akan dinilai secara cermat bagi mengelak pengkhianatan seperti yang dilakukan Bersatu berulang.

“Pengalaman lalu bersama Bersatu yang sukar, mereka memungkiri semua komitmen berkenaan isu agenda pelbagai kaum, membasmi rasuah dan tentulah bagi Keadilan (PKR) kita tidak terlepas daripada perkara ini kerana ramai pemimpin kita terlibat dalam pengkhianatan ini,” katanya.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Anwar berkata, selain MUDA, gabungan itu turut menerima surat dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mahu bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Saya rasa kita boleh terus berbincang memandangkan dari segi dasar, parti-parti ini agak dekat dengan PH.

“Tetapi saya serahkan kepada majlis presiden dan kemudian penubuhan jawatankuasa untuk membuat penilaian terperinci,” katanya.

PKR akan membincangkan permohonan MUDA dan PSM bersama-sama dengan Amanah dan DAP dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung petang nanti.

Pada Februari 2020,  ahli Parlimen Bersatu yang diketuai oleh presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bertindak keluar daripada gabungan PH hingga menyebabkan kerajaan yang dibina tidak sampai dua tahun itu tumbang.

MUDA pula telah menyatakan mahu menyertai PH dalam PRU-15 yang kemudian menyaksikan penolakan daripada pemimpin PKR antaranya disebabkan tindakan MUDA meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor lalu.

Amanah dan DAP bagaimanapun tidak mempunyai masalah untuk menerima parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu untuk menyertai PH.

MUDA telah mengumumkan mahu bertanding di 15 kerusi Parlimen dan kesemua kerusi itu disandang oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Sementara itu, selain isu permohonan MUDA, Anwar turut mengesahkan Majlis Presiden PH hari ini akan turut membincangkan imej baharu bagi logo tunggal yang akan digunakan calon PH.

“Satu rekaan baharu tetapi saya rasa perubahannya hanya minimum,” katanya sambil menegaskan pilihan akhir perlu dipersetujui oleh semua parti dan dekat dengan para penyokong mereka.- MalaysiaGazette