Gambar hiasan

NEGARA jiran Singapura telah mengumumkan kebenaran pembekuan sel telur untuk wanita bujang mulai 2023. Keputusan yang mungkin bakal mengundang persoalan di kalangan sebahagian wanita Muslimah bujang di Malaysia berkenaan kewajaran larangan menjalani prosedur itu di negara mereka sendiri. Khususnya, wanita berkerjaya yang berhasrat untuk menangguhkan perkahwinan dan tanggungjawab keibuan, demi kerjaya dan usaha gaya hidup.

Berhubung perkara ini, Fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tahun 2003 menetapkan pengharaman persenyawaan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah secara tidak lansung mengharamkan wanita Muslimah bujang membekukan sel telur mereka yang belum disenyawakan untuk digunakan kemudian setelah perkahwinan. Namun, berikutan tindakan Singapura, mungkin ada wanita Muslimah dari Malaysia yang masih bujang dan berkemampuan akan memilih menjalani prosedur pembekuan sel telur di Singapura.

Prinsip di sebalik fatwa pengharaman di Malaysia ialah sel sperma dan sel telur yang dihasilkan sebelum berkahwin, tidak boleh digunakan dalam tempoh kontrak perkahwinan (akad al-nikāḥ) untuk mengandung anak. Ini agak serupa dengan injunksi Syariah bahawa seorang kanak-kanak dianggap tidak sah taraf (walad al-zinā) , jika masa kelahiran berlaku kurang dari 6 bulan selepas berkahwin, kerana kanak-kanak itu mesti dianggap telah dikandung oleh hubungan seksual haram (zinā) yang melibatkan penggabungan sperma dan sel telur sebelum perkahwinan. Sebaliknya, fatwa yang dikeluarkan di Mesir pada 2019 membenarkan pembekuan telur oleh wanita Muslimah bujang, dengan syarat-syarat yang ketat berkaitan dengan penglibatan orang ketiga di samping piawaian makmal dan amalan klinikal yang perlu dipenuhi.

Untuk menyelesaikan pendapat yang bercanggah itu, kami akan mengkaji secara kritis sama ada pembekuan sel telur elektif untuk wanita bujang adalah sejajar dengan prinsip Islam, berdasarkan Qawaid Fiqhiyyah (Maksima Perundangan Islam) yang bergantung kepada Qaṣd (niat), Yaqın̄ (kepastian), Ḍarar (kecederaan), Ḍarūrah (keperluan), dan Urf (adat). Kaidah ini sering digunakan sebagai ‘peta jalan’ dalam perbahasan mengenai bioetika Islam; yang biasanya memerlukan tafsiran bebas atau asal mengenai isu-isu baru (Ijtihād) yang tidak disebut secara jelas oleh al-Quran dan hadis.

Berdasarkan cabang pertama – Qaṣd (niat), ianya menunjukkan pendapatan teknologi perubatan baru perlu dinilai dengan jelas mengenai matlamat dan tujuan penggunaannya. Menjalani pembekuan sel telur elektif untuk sengaja menangguhkan perkahwinan dan tanggungjawab keibuan demi kemajuan kerjaya dan gaya hidup, nampaknya bercanggah dengan Hadis berikut yang dikaitkan dengan Ali bin Abi Talib (Riwayat al-Tirmizi 171 dan Riwayat Ahmad 843), yang merakamkan Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Ali tiga perkara jangan engkau tangguhkan. Solat jika ia telah masuk waktu. Pengurusan jenazah jika telah datang kematian dan mengahwinkan seorang anak perempuan jika jumpa yang sekufu."

Selain itu, berdasarkan istilah Yaqın̄ (kepastian) dalam konteks bioetika Islam, ia merujuk kepada keadaan pengetahuan saintifik semasa dan bukti keselamatan dan keberkesanan teknik perubatan baru. Pada masa ini, kejayaan pembekuan sel telur adalah agak rendah. Walaupun dengan teknologi terkini (vitrifikasi), kadar kejayaan tidak melebihi 2% hingga 12% setiap sel telur beku seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Perubatan Reproduktif Amerika (ASRM). Sehingga kini, kadar kejayaan kehamilan dengan sel telur beku masih jauh lebih rendah daripada sel telur segar.

Akibatnya, pembekuan sel telur berkemungkinan besar bukan jalan yang terbaik untuk hamil, dan terdapat risiko bagi wanita yang menggunakan pembekuan sel telur mungkin kehilangan peluang untuk menjadi ibu. Majoriti wanita bujang yang membekukan sel telur mereka berbuat demikian pada usia lewat 30-an dan awal 40-an semasa kualiti sel telur mereka telah menurun dengan ketara. Kos pembekuan sel telur yang tinggi menjadi penghalang kepada wanita yang lebih muda untuk membekukan sel telur mereka. Apabila mereka melakukan pembekuan ini pada usia yang lebih tua, kualiti sel telur mereka telah sangat berberkurangan.

Terdapat juga isu lain yang perlu diambilkira seperti isu keselamatan. Wanita yang lebih tua menggunakan sel telur beku mereka sendiri diketahui mempunyai risiko komplikasi perubatan yang lebih tinggi semasa mengandung. Selain itu, berdasarkan cabang Ḍharar (kemudharatan), ianya menimbulkan persoalan tentang risiko yang boleh terjadi disebabkan oleh teknik perubatan baru. Berkenaan dengan pembekuan sel telur elektif untuk wanita bujang, terdapat potensi kemudaratan yang berkaitan dengan risiko perubatan, serta isu sosiologi.

Risiko perubatan yang paling biasa melibatkan sindrom hiperstimulasi ovari (OHS), yang mana badan bertindak balas secara berlebihan kepada hormon yang disuntik semasa proses rangsangan ovari, lalu menyebabkan kembung yang teruk, kesukaran bernafas dan sakit perut. OHS yang teruk boleh mengancam nyawa, meskipun ia jarang berlaku. Selain itu, pembedahan harian untuk pengambilan telur adalah prosedur invasif yang membawa risiko kecil pendarahan dan jangkitan. Justeru, pembekuan sel telur elektif atas sebab bukan perubatan adalah bertentangan dengan prinsip "mengelakkan kemudaratan adalah lebih baik daripada mencapai manfaat"dalam rawatan perubatan (tadawi).

Terdapat juga kesan sosiologi yang berpotensi berbahaya kepada mereka yang menjalani prosedur mengeluarkan sel telur lalu membekukan sebelum pekahwinan mereka yang sah. Pilihan membekukan sel telur tanpa sebab perubatan yang munasabah dan sah bakal mendorong ramai wanita Muslimah bujang dan berkerjaya menangguhkan perkahwinan dan melahirkan anak. Oleh itu, dikhuatiri kewujudan dan kebenaran teknik ini secara meluas tanpa sebarang garis panduan bakal memburukkan lagi trend perkahwinan lewat dan fasa keibuan dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi dalam masyarakat Islam bandar.

Selain itu, pengiklanan dan pemasaran yang agresif oleh klinik kesuburan boleh mengelirukan dan memberi gambaran seolah-olah pembekuan sel telur elektif boleh menjadi alternatif yang dijamin untuk menimang zuriat kelak. Ini boleh menjurus
kepada kekecewaan di masa depan jika mereka gagal hamil dengan sel telur beku mereka. Sedangkan, mereka sepatutnya dimaklumkan berkenaan peluang yang lebih tipis berbanding sel telur segar. Terdapat juga isu kelewatan fasa keibuan disebabkan pilihan pembekuan sel telur elektif di mana ibu-ibu yang lebih berusia mungkin ada sedikit kekurangan dalam memenuhi keperluan dan tekanan fizikal bagi mendidik dan membesarkan anak-anak berbanding ibu-ibu yang lebih muda.

Melalui cabang Ḍharūrah (keperluan) pula, timbul persoalan adakah di sana ada keperluan untuk menggunakan teknik perubatan baru yang sudah dimaklumi lebih rendah peluang kejayaan dan persoalan mengenai kedapatan alternatif lain yang tersedia. Tanpa alas an perubatan yang kukuh seperti rawatan kanser yang boleh menyebabkan kemandulan contohnya, Jelas sekali pilihan membekukan benih bagi wanita yang sengaja mahu menangguhkan perkahwinan dan keibuandemi kemajuan kerjaya atau gaya hidup tidak boleh diklasifikasikan sebagai peringkat dharurah.

Manakala cabang Urf (adat) pula, ia merujuk kepada mengambil kira adat dan tradisi suku masyarakat apabila membuat keputusan mengenai sebarang isu baru, seperti teknik perubatan baru. Dalam kes pembekuan sel telur elektif atas sebab-sebab bukan perubatan, ini mungkin bertentangan dengan norma sosial konservatif dalam masyarakat Islam, jika wanita bujang dibenarkan menggunakan teknologi ini untuk sengaja melambatkan perkahwinan dan melahirkan anak, untuk memberi tumpuan kepada pembangunan kerjaya dan usaha gaya hidup.

Kesimpulannya, apabila introspeksi yang lebih dekat dan analisis kritikal berdasarkan Qawāid Fiqhiyyah (Maksima Perundangan Islam), pembekuan benih atau sel telur elektif oleh wanita muslim yang masih bujang dan sihat atas sebab-sebab bukan perubatan tidak sejajar dengan prinsip Islam dan norma masyarakat Islam setempat. Justeru, terdapat rasional yang baik untuk pihak bertanggungjawab seperti pihak Muzakarah Majlis Fatwa kebangsaan kekal mengharamkan prosedur ini bagi wanita Muslimah bujang di Malaysia.

Oleh: Dr. Che Anuar Che Mohamad
(Penolong Profesor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) &

Dr. Alexis Heng Boon Chin
(Profesor Madya, Universiti Peking, China)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast