KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori maut manakala tujuh orang anggota polis cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan empat kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.40 petang, pemandu lori Mohd Zaki Taib, 47, dari Tangkak, Johor mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan sebuah van pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, sebuah lori dan dua buah kereta.
Tambah beliau, van tersebut dinaiki tujuh anggota polis yang dalam perjalanan ke IPD Klang Selatan untuk mengambil tahanan.
“Siasatan awal polis di lokasi mendapati semasa kejadian lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Senawang ke arah Selatan iaitu ke Ayer Keroh, Melaka berada lorong tengah mengubah laluan ke lorong kanan secara tiba-tiba lalu telah menghimpit dua kenderaan lain jenis Toyota Camry dan Perodua Alza.
“Akibatnya lori berkenaan hilang kawalan dan melanggar besi penghadang tengah lebuh raya itu sebelum memasuki ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah van milik PDRM yang sedang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menuju ke arah Senawang dengan membawa tujuh anggota polis,” katanya kepada MalaysiaGazette, malam ini.
Tambah beliau, semasa kejadian keadaan lalu lintas di lebuh raya berkenaan tidak sibuk dan jalan basah selepas hujan.
Akibat perlanggaran itu, tambah beliau, lori berkenaan remuk teruk dan mengakibatkan pemandunya tersepit dan meninggal dunia.
Menurut Hazri, perlanggaran itu juga mengakibatkan tujuh anggota polis mengalami kecederaan manakala salah seorang cedera parah di kaki dan kini menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka.
Katanya, mayat pemandu lori itu dihantar ke Hospital Rembau dan proses bedah siasat akan dijalankan esok.
“Manakala mangsa-mangsa lain yang cedera turut dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Rembau, Melaka serta Hospital Alor Gajah dan juga ke Hospital Seremban.
“Kes kemalangan itu sedang dijalankan siasatan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.-MalaysiaGazette