Rafizi Ramli.- Foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan menjelaskan pendirian parti itu berkaitan persetujuan untuk melakukan rundingan dengan MUDA mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Rafizi, beliau tidak hadir mesyuarat Majlis Presiden PH berlangsung semalam yang membincangkan kerjasama dengan MUDA kerana berada di luar negara.

Bagaimanapun Rafizi telah berbincang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu itu.

“Saya di luar negara dan tak hadir Majlis Presiden semalam. Tapi sudah bincang isu ini dengan saudara @anwaribrahim.

“Insya-Allah saya terangkan kenapa kami ambil pendirian perlu lalui satu proses penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian. Wakil PKR dalam jawatankuasa @niknazmi. Trust the process,” kata Rafizi di Twitter.

Beliau memberi reaksi balas terhadap seorang pengguna Twitter bernama Ruzman yang mempersoalkan mengapa Timbalan Presiden PKR itu berdiam diri selepas Majlis Presiden PH bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan MUDA.

Menurut Ruzman, segala perancangan yang dibuat telah sempurna tetapi tergendala disebabkan ‘pelobi’ dari parti Amanah dan DAP.

“Hilang terus @rafiziramli. Kesian. Pelan sudah buat cantik. Tergendala kerana b*bi pelobi @PartiAmanah dan b*bi pelobi @dapmalaysia. Si*l,” ciap Ruzman sambil berkongsi laporan berita bertajuk ‘PH tubuh jawatankuasa runding dengan MUDA, PSM.

Majlis Presiden PH semalam bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan MUDA dan PSM.

Ia berhubung permohonan MUDA untuk menyertai PH serta hasrat PSM untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi.

“Majlis Presiden PH dalam mesyuarat hari ini telah meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan MUDA serta hasrat PSM untuk bekerjasama secara rasmi.

“Oleh itu, Majlis Presiden hari ini bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan Muda dan PSM. Jawatankuasa ini dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen PH,” kata Majlis presiden PH dalam kenyataan.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mewakili parti itu dalam proses rundingan dengan MUDA dan PSM.

Beberapa pemimpin PKR sebelum ini menolak kerjasama dengan MUDA selepas parti itu meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor.

Malah Anwar dilaporkan berkata, sebarang keputusan berhubung penyertaan parti baru perlu dinilai secara menyeluruh bagi mengelakkan pengkhianatan seperti yang dilakukan Bersatu berulang.- MalaysiaGazette