Adham Baba (tengah) ketika menghadiri Majlis Perasmian Solar Roadshow 2022 Negeri Johor di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Sains, Teknologi dan Sumber Manusia (MOSTI) telah memperuntuk RM254. 54 juta kepada syarikat-syarikat teknologi bagi menggalakkan penyelidikan dan aplikasi teknologi industri solar sejak 2011 sehingga kini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peruntukan disalurkan menerusi pelbagai dana Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) disediakan MOSTI seperti ScienceFund, MESTECC R&D Fund, dan International Collaboration Fund (ICF).

Menurutnya, sebanyak RM207.75 juta diberikan kepada 23 syarikat tempatan berasaskan teknologi tenaga solar.

“Sebanyak RM14.8 juta pula kita telah agihkan kepada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemegang taruh industri, bagi R&D tenaga solar tempatan.

“Menerusi  agensi pembiaya MOSTI, iaitu Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) telah membiayai tiga syarikat pakar tenaga bagi perkhidmatan sistem solar PV Termasuk pembinaan loji tenaga solar berkuasa 10 mw, menerusi dana modal teroka dengan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM16.85 juta.

“Selain itu, antaranya RM15.22 juta disalurkan kepada MIMOS Berhad bagi membangunkan empat projek R&D, bertujuan meningkatkan pengeluaran kuasa solar, dengan penggunaan penjejak axis tempatan, serta panel solar berkecekapan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian Solar Roadshow 2022 Negeri Johor di Johor Bahru hari ini.

Menurut Adham, MOSTI dan agensi-agensi di bawahnya sentiasa mencari kaedah dan penyelesaian bagi memperkasa pelbagai industri termasuk industri solar dan solar PV bagi meneroka peluang di peringkat nasional dan antarabangsa.

Inovasi dalam teknologi bahan termaju, menurut beliau, memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti, mengoptimumkan kos dan kecekapan produk sedia ada.

“Sudah pasti pelbagai isu dan cabaran perlu ditangani bagi memastikan pemboleh STI menyediakan perkhidmatan berlandaskan pendekatan saintifik, teknologi maju dan pembinaan kapasiti dalam menangani isu-isu nasional.

“Salah satu inisiatif yang diambil berkaitan dengan tenaga adalah NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI). NESTI meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi.     

“Usaha NESTI ini menyokong pertumbuhan sektor tenaga solar dengan menyediakan penyimpanan tenaga bagi tenaga berlebihan yang dijana oleh sistem fotovoltan atas bumbung dan ladang solar berskala besar.

“Ia sekali gus memacu sekuriti tenaga negara dan keselamatan individu selain memberi peluang yang lebih baik untuk perdagangan tenaga secara peer-to-peer,” ucapnya lagi.-MalaysiaGazette