PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang lelaki dipercayai tekong, maut terkena satu das tembakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas cuba menyerang anggota terbabit menggunakan sebilah parang dalam kejadian di kawasan Jeram Perdah, Pasir Mas dekat sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota polis dari unit Strike Force Kompeni A, Batalion 9 PGA menjalankan rondaan dalam Ops Wawasan dan melihat kelibat sekumpulan pendatang haram telah menyeberang dari negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan pada pukul 1.40 pagi.

“Ketika kejadian, anggota PGA cuba menahan suspek namun secara tiba-tiba salah seorang dalam kumpulan tersebut telah berlari ke arah pengadu dan cuba bertindak menyerang anggota dengan menggunakan parang.

“Anggota PGA itu telah melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan dirinya dari serangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki itu yang dipercayai bukan warganegara Malaysia, berumur lingkungan awal 30-an serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu masih bernyawa dan terdapat kesan tembakan di bahu kiri sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan pada pukul 2.12 pagi tadi.

“Pemeriksaan lanjut ke atas badan si mati mendapati terdapat kesan luka tembakan di bahu kiri dan tiada parut Bacille Calmette-Guerin (BCG) ditemui. Mangsa dipercayai tekong yang membawa masuk pendatang haram melalui jalan tersebut ke satu tempat persembunyian sebelum di ambil oleh ‘transpoter’ yang lain.

“Pihak polis telah membuat rampasan sepucuk pistol jenis STYER bersama peluru dan sebilah parang dan kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 55 E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Polis turut menahan lima lelaki dan dua wanita disyaki pendatang tanpa izin warga Myanmar. – Bernama