Seorang penunggang e-hailing maut manakala seorang lagi penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Klang petang tadi. Ihsan IPD Klang Utara.

KUALA LUMPUR – Pemanduan melulu dua kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Xtrail mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dan seorang lagi parah dalam  kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Meru/Jalan Haji Sirat, Klang hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao berkata, nahas itu berlaku lebih kurang jam 2 petang ketika kedua-dua kenderaan pacuan empat roda itu membelok ke kanan menuju ke Jalan Haji Sirat.

Ketika membelok kedua-dua berlanggar, sebelum pemandu Nissan Xtrail yang berada di jalan sebelah kiri merempuh dua penunggang motosikal e-hailing makanan dan kereta Proton Wira yang berada di hadapan lampu trafik di persimpangan bertentangan.

Akibat perlanggaran itu, lelaki,34, penunggang motosikal e-hailing makanan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah.

Dua pemandu kenderaan Nissan X-trail masing-masing berusia 20 dan 24 tahun telah ditahan selepas disyaki bertanggungjawab dalam kemalangan tersebut.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan ini diminta agar segera menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318 untuk membantu siasatan polis. – MalaysiaGazette