Lawrence Young Meng Seang dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town hari ini atas pertuduhan memukul seorang warga emas.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul warga emas pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lawrence Young Meng Seang, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 79 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Fettes di sini, jam 1.51 petang pada 21 September lalu.

Bapa kepada seorang cahaya mata tersebut didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin, manakala tiada peguam mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 beserta seorang penjamin dan akan disebut semula pada 14 Disember depan.

Terdahulu, tular di media sosial seorang warga emas cedera di muka akibat dipukul penghantar makanan dalam kejadian di Tanjong Tokong di sini.

Insiden itu tercetus selepas kereta yang dipandu mangsa dikatakan terlibat dalam kemalangan dengan motosikal ditunggangi penghantar makanan itu. – MalaysiaGazette