Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pasangan suami isteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abd Samad menangguhkan keterangan bela diri tuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Sepatutnya prosiding bela diri mereka bermula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob  hari ini

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan semakan jenayah tersebut yang telah dimohon oleh kedua-dua mereka secara berasingan pada Isnin lepas.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie telah memohon perintah Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang diumumkan pada 2 September lalu.

Dakwa mereka, hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes tersebut.

Zizie memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap intipati pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ketika prosiding hari ini, peguam mewakili Zizie, M Athimulan memberitahu mahkamah anak guamnya sudah membuat permohonan pada Isnin lepas dan memohon perbicaraan hari ini ditangguhkan terlebih dahulu.

Turut dimaklumkan, Bung juga telah memohon permohonan serupa di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid pada Isnin serta pembelaan juga akan memohon supaya kedua-dua permohonan disatukan dan didengar di hadapan seorang hakim.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan bantahan selepas memperoleh perintah penyatuan daripada mahkamah.

Awal bulan ini Mahkamah Sesyen memerintahkan kedua-duanya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pasangan suami isteri itu dijadual memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Bung didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Zizie pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – MalaysiaGazette