Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa hadir ke mahkamah bagi mendengari keputusan sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Lebih daripada 500 penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari seluruh pelusuk negara hadir memberikan sokongan berikutan keputusan perbicaraan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB)  hari ini.

Rata-rata penyokongnya juga tampil dengan kain rentang ‘Solidariti bersama Ahmad Zahid’ di luar pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini seawal jam 7 pagi tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk hadir berbaju Melayu diiringi segelintir penyokong sebelum tiba di pekarangan mahkamah yang menyaksikan lebih 40 pengamal media pelbagai agensi menanti membuat untuk membuat liputan. 

Antara pemimpin tertinggi yang hadir memberikan sokongan termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan dan Datuk Shamsul Nasarah.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan ceria, senyum dan bergurau senda dengan penyokong selain sempat bermesra dengan media sebelum masuk ke galeri mahkamah sekitar 9.05 pagi ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalam dengan penyokongnya di pekarangan mahkamah bagi mendengari keputusan sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2022.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa akan membuat keputusan sama ada pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie dakwaan suapan rasuah di terima oleh Ahmad Zahid atau sebaliknya sekitar jam 9 pagi ini.

Seandainya pendakwaan berjaya, maka Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan diarahkan membela diri terhadap tuduhan itu, jika tidak, hakim akan melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid jika tiada kes prima facie terhadapnya esok.

Ini merupakan antara kes berprofil tinggi yang telah berlangsung selama 33hari bermula 24 Mei 2021 dan berakhir pada 11 Ogos lepas dengan memanggil 18 saksi, antara saksi penting termasuklah bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat ber­kenaan sebagai pengendali OSC di China dan VLN.

Penyokong bagi memberi sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hadir ke mahkamah bagi mendengari keputusan sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2022.

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Sekiranya Ahmad Zahid dikehendaki membela diri, beliau diberi tiga pilihan iaitu boleh memilih untuk berdiam diri. Pilihan kedua, boleh membela diri dengan memberi ke­terangan dalam kandang orang kena tuduh (OKT) dengan opsyen itu, pihak pendakwa tidak boleh atau tidak dibenarkan soal balas.

Atau pilihan terakhir, Ahmad Zahid boleh membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dan boleh disoal balas.

Prosiding di jangka pada bila-bila dari sekarang. -MalaysiaGazette