KLANG – Seorang jurubahasa bebas berdepan hukuman mati kerana didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian suaminya dalam satu kejadian rompakan palsu di sini, 15 September lalu.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Leong Eng Eng selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd. Jusan.
Selain tertuduh, turut didakwa tiga lelaki termasuk dua beradik iaitu Lim Yon Hay, 36 dan Lim Yon Loon, 31 serta Mok Kum Loon, 37.
Mengikut pertuduhan, Eng Eng, 37, bersama pasangan adik-beradik itu didakwa membunuh hingga mengakibatkan kematian Chow Tiam Hee, 41.
Sementara itu, Kum Loon pula didakwa bersubahat dengan Eng Eng bersama dua beradik berkenaan bagi membantunya melakukan pembunuhan itu.
Kesemua jenayah dan persubahatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Anika Baru, Sungai Udang di sini, antara jam 1.20 pagi hingga 1.40 pagi, 15 September lalu.
Eng Eng dan dua pasangan beradik itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Manakala Kum Loon pula boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah yang mengendalikan kes itu tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh.
Peguam yang mewakili Eng Eng, Jarrett Ong bagaimanapun memohon jaminan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan tujuh tahun selain memberi kerjasama baik dengan polis.
Majistret Noorjidah kemudiannya menolak permohonan itu dan menetapkan sebutan kes pada 21 November ini
Dua lagi tertuduh iaitu Yon Loon dan Kum Loon masing-masing diwakili peguam Ethan Tan dan Ayasamy Velu.
Isnin lalu, media melaporkan dendam dipercayai motif seorang wanita tergamak merancang pembunuhan suaminya yang maut ditikam lebih 14 kali di rumah mereka.
Wanita itu mendakwa perompak menggeledah bilik dan rumah sebelum mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas serta wang tunai sekitar RM40,000 dan melarikan diri menggunakan kereta BMW.
Bagaimanapun, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung insiden kejadian rompakan itu. – MalaysiaGazette