Jho Low Fat Leonard
Jho Low

PADA 20 September lalu, dunia digemparkan dengan penahanan ahli perniagaan rakyat Malaysia, Leonard Glenn Francis atau lebih terkenal dengan gelaran ‘Fat Leonard’.

Dia diburu pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) setelah lari dari tahanan rumah di San Diego, California awal bulan ini.

Penahanan Francis yang berasal dari Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di Caracas, Venezuela itu dilakukan melalui kerjasama Interpol.

Dia dikatakan sedang dalam perjalanan ke Rusia selepas melalui Cuba dan Mexico.

Sebelum itu, Fat Leonard ditahan kerana disyaki menjadi dalang skandal sogokan dan rasuah terbesar dalam sejarah Tentera Laut AS.

Selama lebih 10 tahun, pegawai Tentera Laut AS diberi hadiah, wang tunai dan seks apabila mereka membantu perniagaan perkhidmatan perkapalan Francis, yang mengawal pelabuhan di seluruh Asia Tenggara.

Skandal itu merompak sekurang-kurangnya AS$35 juta (RM160 juta) wang pembayar cukai dan membawa kepada sabitan hampir 36 pegawai tentera laut AS.

Penangkapan Fat Leonard itu mengingatkan kita tentang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang masih bebas sehingga kini.

Dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes SRC International Sdn. Bhd. itu telah diletakkan dalam senarai ‘notis merah’ Interpol sejak 2018.

Yang terkini, media melaporkan kelibat Jho Low dilihat di Macau bersama rakan kongsinya. Maklumat itu didedahkan oleh penulis buku Billion Dollar Whale, Tom Wright baru-baru ini.

Sebelum itu, Jho Low yang juga rakyat Malaysia dikatakan berada di Shanghai namun pihak berkuasa China menafikan perkara tersebut.

Pada 4 November 2019, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan, pihak berkuasa di negara Jho Low bersembunyi enggan memberi kerjasama.

Malah, beliau mendakwa, mereka memberitahu, Jho Low menjalani pembedahan dan mukanya kelihatan seperti beruang manakala gaya berjalannya seperti seladang. Tidak pasti sama ada Abdul Hamid benar-benar serius atau cuma bergurau.

Jho Low merupakan saksi terpenting dalam kes 1MDB dan SRC International. Namun, pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetap diteruskan ketika era Pakatan Harapan (PH) walaupun tanpa kehadiran Jho Low.

Tindakan itu agak menghairankan kerana kebiasaannya dalam mana-mana kes jenayah, tindakan pendakwaan sukar untuk diteruskan sekiranya tiada bukti kukuh atau saksi utama.

Justeru, ketidakhadiran Jho Low di mahkamah dalam kes 1MDB yang sedang berjalan dan kes SRC yang sudah selesai merupakan sesuatu yang agak luar biasa.

Empat tahun sudah berlaku namun Jho Low masih gagal ditangkap. Apakah dia terlalu licik dan hebat seperti watak-watak filem Hollywood seperti Jason Bourne dan John Wick sehingga sukar dikesan dan dicekup oleh pihak berkuasa termasuk Interpol?

Rakyat Malaysia amat mengharapkan Jho Low yang kini mungkin ‘berwajah beruang dan berjalan seperti seladang’ dapat dibawa pulang agar kebenaran di sebalik kes 1MDB dan SRC International dapat disingkap.

Memandangkan Fat Leonard yang licik itu pun sudah ditangkap semula, tiada alasan lagi yang boleh diberikan oleh pihak berkuasa bagi mewajarkan kegagalan mengesan dan mengheret Jho Low ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette