Sharifah Shahirah menunjukkan nama arwah datuknya yang diabadikan di Tugu Peringatan Force 136 di Kem Puncak Mas, Rejimen 505 Askar Wataniah, Raub hari ini.

RAUB – Pengacara Suria FM, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 47, terharu nama arwah datuknya, Syed Abd Rahman Syed Mohamed diabadikan di Tugu Peringatan Force 136 di Rejimen 505 Askar Wataniah, Kem  Puncak Mas, di sini.

Beliau yang mesra disapa Shiera sebak tatkala mengenangkan penghargaan yang diberikan kepada 244 wira negara daripada pasukan Force 136 itu.

“Saya memang tak sangka. Sebenarnya, saya tak tahu pun. Ada rupanya nama arwah datuk saya di tugu peringatan ni,” katanya.

Shiera memberitahu, arwah datuknya bertugas sebagai perisik dalam pasukan Force 136 yang berperanan mengusahakan sabotaj terhadap tentera Jepun sekitar tahun 1944.

Beliau yang berasal dari Sega yang mengimbas kenangan bersama arwah datuknya ketika beliau masih remaja berkata: “Saya dulu balik ke Raub ni, banyak sekatan jalan raya sebab komunis banyak. Saya sempat la rasa dengan pengalaman kena banyak berhenti sebelum sampai ke kampung di Sega,”jelasnya.

Sharifah Shahirah

Namun, katanya, kesusahan pada masa dahulu bukanlah sesuatu yang membebankan, tapi ia membentuk jati dirinya sehingga kini.

“Yang sedihnya sebab banyak kenangan dengan arwah atuk. Walaupun saya baru 14 tahun ketika itu, tapi banyak kenangan dengan arwah,” ujasnya.

Tambah Shiera, generasi kini seharusnya lebih bersyukur dengan segala nikmat kesenangan yang diperoleh hasil perjuangan generasi dahulu.

“Kita sekarang tiada elektrik pun kita susah, apatah lagi berjuang untuk negara. Ya Allah. Tahniah kepada mereka pejuang dahulu,” katanya sambil menahan sebak.

Shiera menyifatkan kisah pengorbanan hero yang tak didendang, yang melakukan perisikan dan sabotaj terhadap tentera Jepun sebelum negara mencapai kemerdekaan perlu difilemkan.

Sempena sambutan ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia yang ke-89, hari ini nama-nama pejuang Force 136 yang terdiri daripada 27 pegawai dan 217 lain-lain pangkat dalam pasukan tersebut diabadikan pada Tugu Peringatan Force 136 Pahang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan tugu peringatan berkenaan. -MalaysiaGazette